Cikgu GK
Pakar Mata pelajaran BM & Sejarah
Wednesday, 4 May 2022
Sunday, 6 February 2022
Thursday, 9 July 2020
Faktor Menggalakkan Pelancongan di Malaysia
Malaysia merupakan salah satu destinasi
pelancongan utama di dunia. Saban tahun, jumlah pelancong yang direkodkan
semakin bertambah bukan sahaja pelancong dari negara jiran seperti Singapura,
Thailand dan Indonesia malah turut menjadi tumpuan pelancong asing dari Asia
Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Industri pelancongan ini juga mempunyai
potensi besar dan mampu dijadikan sumber ekonomi baharu yang menguntungkan.
Justeru, banyak syarikat besar yang tumbuh “bak cendawan selepas hujan” mahupun
agensi kerajaan yang giat melaksanakan usaha bagi menarik pelancong berkunjung
ke Malaysia. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Malaysia
menjadi tumpuan pelancong.
Antara faktor tersebut adalah kerana Malaysia mempunyai banyak
tempat menarik untuk dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan
pelancong asing yang berkunjung ke negara kita. Sebagai contohnya, Malaysia
memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti
Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat
menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai
tanaman hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia
juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia
lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat
menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan
kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan
kawasan reakrasi seperti ini dapat menarik pelancong dari dalam dan dari luar
negara.
Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga
disebabkan oleh keadaan iklim semula jadinya yang panas sepanjang tahun. Corak
iklim seperti ini amat digemari oleh pelancong asing khususnya pelancong dari
negara-negara barat seperti negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ramai pelancong
barat yang mengambil kesempatan bercuti di Malaysia untuk berjemur di bawah
sinaran matahari terik terutamanya di kawasan pantai yang terdapat di Malaysia.
Hal ini disebabkan juga oleh keadaan pantai yang terdapat di Malaysia amat
cantik, bersih dan berpasir putih. Di kawasan pantai ini juga disediakan
pelbagai aktiviti untuk para pelancong seperti berkayak, berperahu layar
mahupun mandi-manda. Oleh itu, keistimewaan tersebut berjaya menambat hati para
pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.
Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita
juga turut disebabkan oleh kewujudan banyak pulau yang indah dan menarik. Di
antara pulau yang menjadi tumpuan para pelancong di negara kita termasuklah
Pulau redang, Pulau Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini
dijaga dengan rapi bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk
kunjungan para pelancong. Para pelancong juga akan dapat merasai “syurga dunia”
dengan melakukan aktiviti skuba di kawasan batu karang yang terletak di Pulau
Kapas sehingga diakui sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia. Bagi
memastikan pelancong dapat menikmati keindahan semula jadi di kawasan pulau
tersebut, kerajaan telah mewartakan kawasan itu sebagai Taman Laut. Jadi,
dengan adanya keistimewaan tersebut, Malaysia dapat menarik lebih ramai
pelancong yang sekaligus dapat menjana kemajuan industri pelancongan negara.
Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air
dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia
merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya
menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India
telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu
umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula
terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai
makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu
misalnya terkenal dengan makanan seperti Sate, ketupat dan rendang manakala
kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain.
Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya
tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.
Peranan pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan
pelancongan juga turut memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Sebagai
contohnya, Kementeria Pelancongan telah mengadakan pelbagai pertunjukan
kebudayaan dan destinasi pelancongan Malaysia ke beberapa buah negara sebagai
usaha mempromosikan Malaysia kepada pelancong asing. Tumpuan promosi bukan sahaja terhad ke negara-negara Eropah atau
Amerika Syarikat malah meliputi semua negara di dunia termasuk di Asia Barat
dan di Asia Timur. Pada masa yang sama, kerajaan juga turut mengadakan pelbagai
aktiviti tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong seperti mengadakan Pesta
Flora Kuala Lumpur, Pesta Makanan Tradisional Malaysia, sukan Le Tour De
Langkawi dan sebagainya. Malaysia juga turut memperkenalkan konsep pelancongan
baru seperti “ekopelancongan”, “agrotourism”, pelancongan perubatan, pelancongan
pendidikan dan lain-lain. Dengan usaha yang berterusan ini maka sektor
pelancongan di Malaysia semakin berkembang maju.
Intihanya, sektor pelancongan merupakan sektor baru yang
berpotensi untuk menyumbang pada ekonomi negara. Industri ini masih perlu
diterokai kerana “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”.
Justeru, peranan kerajaan dan agensi pelancongan berserta dengan kerjasama
daripada semua masyarakat adalah amat diperlukan. Semoga melalui keprihatianan
dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi
sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil
merehatkan minda mereka.
Kebaikan bergotong-royong
Dalam meniti
kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik
marcapada ini, kita seyogianya memahami maksud amalan bergotong royong.
Amalan ini merupakan budaya yang dipraktikkan sejak generasi dulu dan amalan
ini dianggap tak basah dek hujan, tak lekang dek panas.
Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya atau amalan bangsa agar sentiasa
releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya generasi alaf baharu
ini. Yang berlaku sekarang, budaya yang diingini hanyalah keseronokan dan
keselesaan yang tidak mahu dipertanggungjawabkan. Fenomena ini melunturkan
semangat memupuk amalan bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang
tidak mengenali maksud gotong-royong dan melaksanakannya? Berapakah peratus
daripada golongan muda generasi kini yang telah bergotong-royong untuk
membersihkan sesuatu tempat? Oleh hal yang demikian,kita mestilah mengenali
faedah bergotong-royong dan menjalankan kegiatan bergotong-royong ini.
Amalan bergotong-royong dapat memperindah tempat tinggal. Kebersihan tempat
tinggal merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan
kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada
rupa. Sebagai insan biasa, kita tentu mahu akan kecantikan tempat
tinggal kita dipuji oleh orang lain. Dengan menjalankan amalan bergotong–royong
kita dapat memperindah sendiri kawasan tempat tinggal dan memahami jiran dengan
lebih mendalam. Fenomena ini persis peribahasa tak kenal maka tak cinta.
Apabila kawasan tempat tinggal kita sentiasa bersih dan indah, rakan-rakan
sendiri akan menyukai kawasan tempat tinggal kita secara langsung dan akan
sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang penghuni bumi, kita boleh
mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong dapat menghijaukan bumi. Bak
kata peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan mengaktifkan diri dalam
amalan bergotong–royong, kita dapat lebih memahami kepentingan kegiatan
bergotong-royong dan akan mewujudkan masyarakat yang bekerjasama. Benarlah kata
peribahasa, bersatu kita teguh bercerai kita roboh . Kita harus mengapresiasi amalan ini sebelum kewujudannya tidak
diketahui lagi. Janganlah kita lupa bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Selain itu, amalan bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti
kehidupan yang penting sebagai langkah membersihkan tempat tinggal daripada
menjadi vektor penyakit. Dengan berbuat begitu, kita dapat mencegah dan
menjauhi penyakit. Kata Tun Dr. Mahathir, “mencegah lebih baik daripada mengubati”.
Secara peribadi, saya berpendapat bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti
diamalkan sejak kecil kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan
menjadikan amalan ini sebagai aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat
banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita
juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan
tenaga kerja yang ramai jikalai kita mengaktifkan diri dalam kegiatan
bergotong-royong. Oleh hal yang demikian, amalan ini harus diingati dari satu
generasi kepada satu generasi. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk
mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal .
Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak
kata! Kegiatan bergotong-royong memainkan peranan yang amat penting
sebagai agen perpaduan . Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang
dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang pemisah antara
kaum semakin lebar dari setahun ke setahun kerana rambut sama hitam, hati
lain-lain. Dengan menjalankan kegiatan bergotong-royong kita dapat menghapuskan
sikap masyarakat yangseperti enau di dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apabila seseorang yang
berlainan kaum berinteraksi dengan seseorang yang berlainan kaum, kita dapat
mengenali kebudayaan kaum-kaum masing- masing kerana masuk ke kandang kambing
mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak. Melaui kegiatan
bergotong-royong, kita akan lebih dapat mempercayai masyarakat sekeliling dan
menghormati sesama diri. Dengan ini, kita akan hidup saling membantu bagai aur dengan tebing .
Melalui kegiatan yang afdal ini , kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari
kita. Hal ini dikatakan demikian kerana Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri
ke-4 pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan
bergotong-royong, kita berupaya menerap pelbagai nilai murni dalam diri.
Fenomena ini sama seperti sambil menyelam ,minum air. Jelas beliau semasa
merasmikan kempen bergotong-royong pada peringkat nasional, awal tahun 2003.
Nilai murni yang diterapkan akan mentransformasikan kita sebagai orang yang
lebih disukai dan diterima oleh masyarakat. Amalan ini juga mampu
memasyarakatkan rakyat Malaysia oleh sebabbulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Aktiviti bergotong-royong sememangnya dapat menghidupkan semangat kejiranan.
Dengan berbuat demikian, kita dapat mengenali jiran secara mendalam. Selepas
terlaksananya aktiviti ini , kita akan terpanggil untuk membuka hati kita lalu
menegur jiran kita. Pembahagian tugas akan dapat dijalankan semasa aktiviti
bergotong-royong dijalankan dan semua orang akan merasai semangat bersatu padu
. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah
membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan
sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalin dan meningkatkan hubungan
sesama jiran. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jiran
ialah orang yang tinggal di sekitar rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan,
dan juga di belakang rumah kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang
akan menjadi sahabat kita dan orang yang pertama akan membantu apabila kita
menghadapi kesusahan nanti. Tak percaya? Janganlah lupa bahawa pepatah Melayu
ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa
berkat".
Intihanya , amalan bergotong-royong membawa faedah yang banyak .
Dengan mengamalkan semangat ini, bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih
indah dengan secara tidak langsung. Bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke
lurah sama dituruni. Amalan ini tidak akan dilupai. Sebagai penutup wacana, amalan
gotong-royong merupakan tanggungjawab yang penting bagi setiap orang untuk
mewujudkan kualiti kehidupan yang optimum. Marilah kita belajar amalan yang
baik dan amalkannya dalam kehidupan harian. Bak kata pepatah, yang baik dijadikan
teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
CARA-CARA MENGHARGAI WARGA TUA (Karangan Ke-2)
Warga tua merujuk kepada mereka yang berusia lebih daripada 60 tahun. Mereka merupapan ibu, bapa, datuk atau nenek, bapa saudara atau ibu saudara kita. Mereka merupakan golongan yang paling berjasa kepada keluarga, masyarakat dan negara. Warga tua telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak. Namun, pada hari ini, warga tua sering diabaikan ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan jasa mereka dilupakan oleh masyarakat. Ada sesetengah mereka pula dianggap seperti Quran buruk. Bagaimanapun, jasa dan sumbangan warga tua perlu dihargai oleh semua pihak.
Ahli keluarga perlu menyayangi warga tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu melahirkan zuriat dan berperanan mengurus rumah tangga serta mendidik anak-anak. Kaum bapa pula membanting tulang empat kerat mencari rezeki untuk keluarga. Pengorbanan ibu bapa perlu diingati serta dibalas dengan sebaik-baiknya. Sebagai anak, kita perlu menjaga ibu bapa kita ketika mereka tua serta uzur. Anak-anak tidak seharusnya menghantar mereka ke rumah orang tua-tua. Jika mereka berbuat demikian, mereka boleh dianggap sebagai kacang lupakan kulit.
Di samping itu, guru menjadi suri teladan menasihati pelajar agar menghormati ibu bapa serta warga tua. Kita perlu memberikan perhatian dan sering mendampingi mereka. Selain itu, anak-anak perlu bertutur dengan sopan apabila berkomunikasi dengan ibu bapa mereka. Ketika bersalam, anak-anak hendaklah mencium tangan mereka. Hal ini demikian kerana kasih ibu membawa ke syurga dan kasih bapa sanggupkah berpisah berkorban nyawa. Sewajarnya anak-anak tidak mengabaikan warga tua tersebut.
Seterusnya, kerajaan dan pihak swasta turut berperanan menghargai warga tua. Kerajaan dan pihak swasta hendaklah berganding bahu seperti aur dengan tebing. Kedua-dua pihak tersebut hendaklah menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contoh, rumah penjagaan warga tua yang mempunyai pelbagai kemudahan penjagaan hendaklah disediakan untuk mereka. Di samping itu, warga tua juga hendaklah diberikan rawatan percuma di hospital kerajaan. Sekiranya memerlukan bayaran, mereka hendaklah dikenakan kadar bayaran rendah di hospital kerajaan atau klinik swasta. Keperihatinan tersebut menunjukkan sikap mengambil berat tanpa mengira pangkat, demi keselesaan warga tua.
Media massa tidak terkecuali dalam usaha menghargai warga tua. Media massa seperti surat khabar dan televisyen serta Internat boleh menyiarkan cerita-cerita yang berkaitan dengan pengorbanan dan penderitaan hidup warga tua. Sebagai contoh, rancangan yang disiarkan oleh TV3, iaitu ’Bersamamu”, menunjukkan terdapat pelbagai pihak yang sanggup menghulurkan bantuan khususnya kepada warga tua yang daif. Hal ini menyedarkan kita tentang pentingnya warga tua dalam hidup kita. Oleh itu, kita tidak boleh mengabaikan warga tua.
Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga tua. Tanpa mereka siapalah kita. Jangan sesekali kita bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing kerana suatu hari nanti, kita juga pasti akan menjadi ’tua’ juga. Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang telah berkorban melahirkan, membesarkan, dan mendidik anak-anak hingga berjaya dalam hidup.
Wednesday, 8 May 2019
KATA-KATA HIKMAT
Tiada manusia yang berjaya dalam semua yang dilakukannya dan kewujudan kita ini sebenarnya mesti menempuh kegagalan. Yang penting ialah kita tidak menjadi lemah semasa kegagalan itu terjadi dan kekalkan usaha hingga ke akhir hayat
Keberanian yang sebenar ibarat layang-layang. Sentakan angin yang menentangnya bukan melemparkannya ke bawah, sebaliknya menaikkannya
Apabila kepercayaan telah hilang lenyap, kehormatan telah musnah,
Berbahagialah orang yang dapat menjadi tuan untuk dirinya, menjadi pemandu untuk nafsunya dan menjadi kapten untuk bahtera hidupnya
Memang amat tinggi letaknya kebahagiaan. Namun kita harus menuju ke sana. Ada orang yang berputus asa berjalan ke arahnya lantaran disangkanya jalan ke sana amat sukar. Padahal kebahagiaan itu mudah, kerana bermula daripada dirinya sendiri
Kejayaan tidak datang kepada manusia yang leka
Keruntuhan keluarga telah melahirkan generasi yang lemah
Nilai hidup harus diukur dengan garis yang lebih mulia, iaitu kerja dan bukannya usia
Orang yang paling tidak bahagia ialah mereka yang paling takut pada perubahan
Biarpun seribu kapal tenggelam di tengah-tengah lautan,
namun cita-cita manusia tidak pernah hilang
Hamka.
bukan kejayaan
Mahatma Gandhi
maka semua masalah akan dilihat seperti paku
Maslow
tidak semestinya akan menjadi kuda
Pepatah Inggeris
Sesungguhnya seorang hamba itu apabila merasa ujub kerana suatu perhiasan dunia, nescaya Allah akan murka kepadanya hingga dia melepaskan perhiasan itu.
Semoga aku menjadi pohon yang ditebang kemudian digunakan
Dia berkata kepada para sahabat,”Sesungguhnya aku telah mengatur urusan kamu, tetapi aku bukanlah orang yang paling baik di kalangan kamu maka berilah pertolongan kepadaku. Kalau aku bertindak lurus maka ikutilah aku tetapi kalau aku menyeleweng maka betulkan aku!”
SAYIDINA UMAR BIN KHATTAB
Jika tidak kerana takut dihisab, sesungguhnya aku akan perintahkan membawa seekor kambing, kemudian dipanggang untuk kami di depan pembakar roti.
Barangsiapa takut kepada Allah SWT nescaya tidak akan dapat dilihat kemarahannya dan barang siapa takut pada Allah, tidak sia-sia apa-apa yang dia kehendaki.
Wahai Tuhan, janganlah Engkau jadikan kebinasaan umat Muhammad SAW di atas tanganku. Wahai Tuhanku, umurku telah lanjut dan kekuatanku telah lemah. Maka genggamkan (matikan) aku untuk-Mu bukan untuk manusia.
SAYIDINA ALI KARAMALLAHU WAJHAH
Cukuplah apabila aku berasa mulia kerana Engkau sebagai Tuhan bagiku dan cukuplah bila aku bangga bahawa aku menjadi hamba-Mu. Engkau bagiku sebagaimana yang aku cintai, maka berilah aku taufik sebagaimana yang Engkau cintai.
Hendaklah kamu lebih memperhatikan tentang bagaimana amalan itu diterima daripada banyak beramal, kerana sesungguhnya terlalu sedikit amalan yang disertai takwa. Bagaimanakah amalan itu hendak diterima?
Janganlah seseorang hamba itu mengharap selain kepada Tuhannya dan janganlah dia takut selain kepada dosanya.
Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan ilmu yang tidak difahami dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya.
UMAR BIN AZIZ
Orang yang bertakwa itu dihalang
Sesungguhnya subahat itu pada yang halal
Kemaafan yang utama itu ialah ketika berkuasa
SUFFIAN AS THAURI
Tidak ada ketaatan bagi kedua ibu-bapa pada perkara subahat
Sesungguhnya seorang lelaki itu berharta bila dia zuhud di dunia, dan sesungguhnya seorang itu adalah fakir apabila dia gemar pada dunia
Menuntut ilmu lebih utama daripada solat sunat
IMAM AS SYAFIE
Barangsiapa menghendaki akhirat wajib baginya ikhlas pada ilmu
Tidak ada sesuatu yang lebih indah pada ulama kecuali dengan kefakiran dan mencukupi dengan apa-apa yang ada serta reda dengan keduanya
Hendaklah kamu berilmu pengetahuan sebelum kamu menjadi ketua, sebab sesudah kamu menjadi ketua, tidak ada jalan lagi bagimu untuk mencari pengetahuan
Orang yang berakal itu ialah orang yang akalnya dapat mengawal segala sifat-sifat mazmumah (sifat keji)
Barangsiapa yang menyukai apabila Allah menutupinya dengan kebaikan maka hendaklah dia bersangka baik terhadap manusia
IMAM MALIK
Ilmu itu bukanlah dengan memperbanyak riwayat tetapi ilmu itu ialah cahaya yang Allah letakkan dalam hati
Apabila seseorang itu memuji dirinya maka hilanglah cahayanya
Wajib bagi orang yang menuntut ilmu untuk memiliki kebesaran, ketenangan dan ketakutan
IMAM ABU HANIFAH
Tidak sekalipun aku solat kecuali aku doakan untuk guruku Hammad dan juga mereka yang pernah mengajarku serta mereka yang pernah aku ajar
Aku telah 50 tahun bergaul dengan manusia. Tidakku dapati seorangpun yang mengampunkan kesalahanku. Tidak ada yang menghubungi aku ketika aku memutuskan hubungan dengannya. Tidak ada yang menutup keaibanku dan aku tidak akan merasa aman darinya apabila dia murka kepadaku. Maka yang lebih mereka bimbangkan adalah perkara yang besar-besar.
Telah sampai berita kepadaku, bahawa tidak ada yang lebih mulia daripada seorang alim yang warak
IMAM AHMAD
Jangan kamu mengambil ilmu dari orang yang mengambil benda dunia di atas ilmunya
SUFFIAN BIN UYAINAH
Dua perkara yang susah sekali untuk diubati ialah meninggalkan loba (tamak) untuk manusia dan ikhlas beramal untuk Allah
Sesiapa yang ditambah akalnya maka kuranglah rezekinya
Zuhud di dunia itu ialah sabar dan menunggu-nunggu kedatangan mati
Ilmu itu jika tidak memberi manfaat padamu maka akan memberi mudarat padamu
Orang yang menuntut ilmu tidak akan dianggap sebagai orang yang berakal hingga dia melihat dirinya lebih hina dari sekalian manusia