google.com, pub-6310673978684249, DIRECT, f08c47fec0942fa0google.com, pub-6310673978684249, DIRECT, f08c47fec0942fa0 google.com, pub-6310673978684249, DIRECT, f08c47fec0942fa0 Cikgu GK: February 2017

Friday 17 February 2017

Cara-cara untuk mengatasi kemalangan jalan raya

Pada era globalisasi ini, angka kemalangan jalan raya semakin meningkat. Isu ini memberi tamparan yang hebat kepada negara kita yang menuju Wawasan 2020. Topik ini juga menjadi topik yang hangat sehingga dibincangkan dari warung-warung kopi hingga ke parlimen. Walaupun pelbagai pihak telah mengambil pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya namun inisiatif-inisiatif murni tersebut bertepatan dengan aforisme air hujan jatuh ke pasir. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Tepuk dada dan tanya selera. Menyalahkan mana-mana pihak bukanlah jalan penyelesaian yang sesuai dan perlu ditangani secara bijaksana. Persoalannya, apakah modus operrandi yang efektif boleh diambil untuk mengatasi kemalangan jalan raya? Persoalan inilah yang saya ingin rungkaikan.

Langkah utama dalam mengurangkan angka kemalangan jalan raya sudah pastilah dengan mendidik para pemandu khususnya pemandu pengangkutan awam supaya lebih berdisiplin ketika memandu. Peratusan tinggi kemalangan dikatakan berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri yang dikatakan cuai ketika berada di atas jalan raya. Sebagai contohnya, banyak pemandu yang masih menggunakan telefon bimbit ketika memandu yang secara tidak langsung menyebabkan mereka kehilangan fokus. Oleh itu, kesedaran tentang kepentingan mengikut peraturan jalan raya perlu hadir dari dalam diri kerana tanpa kesedaran dalam diri, peraturan yang digubal umpama tidak bermakna.

Kemalangan jalan raya juga dapat dielakkan melalui pendidikan di sekolah. Sejajar dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitulah juga halnya dalam usaha untuk mendidik pemandu agar lebih berdisiplin ketika berada di atas jalan raya. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia sememangnya maklum akan hal ini dan telahpun memasukkan silibus keselamatan jalan raya dalam pendidikan di sekolah. Secara tidak langsung, anak-anak yang belajar di sekolah boleh mendapat pendidikan secara langsung tentang peraturan dan isu-isu keselamatan ketika berada di jalan raya.

Langkah lain yang boleh diambil pula ialah dengan membaiki keadaan jalan raya di negara kita. Jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik sudah pasti mendatangkan bahaya kepada para pemandu dan juga penunggang motosikal. Bukan itu sahaja, keadaan jalan raya yang gelap tanpa sinaran cahaya lampu juga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam. Sebagai misalannya, kereta yang dipandu laju di lebuh raya akan serta merta mengelak jalan yang berlubang tanpa melihat cermin pandang sisi. Keadaan ini memungkinkan kemalangan berlaku jika kenderaan di belakang mengikut terlalu dekat. Perkara sebeginilah yang perlu dielakkan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Pihak-pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita.  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat Malaysia (SPAD) mahupun organisasi berkaitan yang lain perlu berganding bahu dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya ini. Sekatan-sekatan jalan raya serta rondaan secara berkala mampu mengurangkan risiko kemalangan atau paling tidak mendisiplinkan pemandu ketika berada di jalan raya. Namun demikian, pemantauan yang dibuat perlulah secara berterusan dan bukannya mengikut musim kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Langkah terakhir dalam menangani isu yang kian membarah ini sudah tentulah melalui penganjuran kempen-kempen kesedaran dalam hal yang berkaitan keselamatan jalan raya. Pihak swasta dalam hal ini juga boleh menjalankan tanggungjawab sosial mereka dalam menyampaikan kempen-kempen tersebut melalui media massa seperti televisyen, radio, akhbar mahupun Internet. Kempen-kempen yang dijalankan ini perlulah dibuat secara berterusan dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam ataupun melepaskan batok di tangga. Secara tidak langsung masyarakat akan tahu pihak kerajaan mahupun penganjur kempen ini bersungguh-sungguh dalam usaha mengurangkan kecelakaan jalan raya.


Sudah terang lagi bersuluh bahawa, banyak langkah yang boleh diambil oleh individu, masyarakat mahupun negara dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Semua pihak ini perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing supaya setiap langkah yang diambil mendatangkan kesan yang positif. Jika segala langkah telah diambil dan dijalankan dengan sewajarnya, tidak mustahil kita dapat melihat negara yang dicintai ini berkembang menuju ke arah status negara maju setanding dengan negara-negara maju yang lain. Kadar kemalangan jalan raya yang berkurang juga boleh menggalakkan pelaburan asing ke negara kita yang secara tidak langsung dapat meningkatkaekonomi negara. 

Faktor Jerebu

Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini sering berhadapan dengan masalah jerebu yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana telah acapkali melanda negara kita. Pada tahun 2005, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah menyebabkan jerebu yang teruk di Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang telah diiystiharkan darurat kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi 500, iaitu tahap darurat. Pada tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku sekali lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang kontroversi ini, sebenarnya disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang tua-tua , “ jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang ”.

Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialah pembakaran hutan secara besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu meningkat . Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di muka bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita. Natijahnya, udara kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu.

Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan juga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Sesetengah rakyat negara pula melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Jadi, mereka telah mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap mereka tanpa kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit membawa kepada masalah jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar jerami padi untuk membersihkan kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula. Mereka tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya, pembakaran terbuka ini melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan jerebu.

Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya. Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap pencemar. Gas-gas pencemar ini merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gas-gas yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.

Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri yang tidak terkawal. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung pada bidang perindustrian yang mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan keadaan jerebu di negara kita lagi.

Sebagai penutup bicara, jerebu merupakan fenomena alam yang memberi kesan yang buruk kepada manusia. Fenomena jerebu yang disebabkan oleh proses alam semula jadi tidaklah menyebabkan jerebu yang buruk berbanding dengan jerebu yang disebabkan oleh aktiviti manusia. Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini, sebaliknya langkah-langkah efektif perlu diambil sebelum kemelut tersebut berada di luar kawalan persis kata orang tua-tua, “sebelum nasi menjadi bubur”. Sekiranya masalah jerebu tidak mendapat perhatian ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan nilai cinta akan alam sekitar. Oleh itu, semua wargabumi haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah berjerebu di Malaysia yang semakin serius supaya masyarakat sejagat dapat hidup dengan selamat. Tidak gunanya kita meratapi kehilangannya suatu ketika nanti jika langkah-langkah pencegahan tidak dimulakan dan dilakukan dari sekarang kerana pepatah melayu ada berbunyi, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.