Pada
era globalisasi ini, angka kemalangan jalan raya semakin meningkat. Isu ini memberi
tamparan yang hebat kepada negara kita yang menuju Wawasan 2020. Topik ini juga
menjadi topik yang hangat sehingga dibincangkan dari warung-warung kopi hingga
ke parlimen. Walaupun pelbagai pihak telah mengambil pelbagai inisiatif untuk
mengurangkan kadar kemalangan jalan raya namun inisiatif-inisiatif murni tersebut
bertepatan dengan aforisme air hujan jatuh ke pasir. Siapakah yang harus
dipersalahkan dalam hal ini? Tepuk dada dan tanya selera. Menyalahkan mana-mana
pihak bukanlah jalan penyelesaian yang sesuai dan perlu ditangani secara
bijaksana. Persoalannya, apakah modus operrandi yang efektif boleh diambil
untuk mengatasi kemalangan jalan raya? Persoalan inilah
yang saya ingin rungkaikan.
Langkah utama dalam mengurangkan angka kemalangan jalan
raya sudah pastilah dengan mendidik para pemandu khususnya pemandu pengangkutan
awam supaya lebih berdisiplin ketika memandu. Peratusan tinggi kemalangan
dikatakan berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri yang dikatakan cuai
ketika berada di atas jalan raya. Sebagai contohnya, banyak pemandu yang masih
menggunakan telefon bimbit ketika memandu yang secara tidak langsung
menyebabkan mereka kehilangan fokus. Oleh itu, kesedaran tentang kepentingan
mengikut peraturan jalan raya perlu hadir dari dalam diri kerana tanpa
kesedaran dalam diri, peraturan yang digubal umpama tidak bermakna.
Kemalangan jalan raya juga dapat dielakkan melalui
pendidikan di sekolah. Sejajar dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari
rebungnya, begitulah juga halnya dalam usaha untuk mendidik pemandu agar lebih
berdisiplin ketika berada di atas jalan raya. Pihak kerajaan melalui Kementerian
Pendidikan Malaysia sememangnya maklum akan hal ini dan telahpun memasukkan
silibus keselamatan jalan raya dalam pendidikan di sekolah. Secara tidak
langsung, anak-anak yang belajar di sekolah boleh mendapat pendidikan secara
langsung tentang peraturan dan isu-isu keselamatan ketika berada di jalan raya.
Langkah lain yang boleh diambil pula ialah dengan
membaiki keadaan jalan raya di negara kita. Jalan raya yang tidak diselenggara
dengan baik sudah pasti mendatangkan bahaya kepada para pemandu dan juga penunggang
motosikal. Bukan itu sahaja, keadaan jalan raya yang gelap tanpa sinaran cahaya
lampu juga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutamanya pada waktu
malam. Sebagai misalannya, kereta yang dipandu laju di lebuh raya akan serta
merta mengelak jalan yang berlubang tanpa melihat cermin pandang sisi. Keadaan
ini memungkinkan kemalangan berlaku jika kenderaan di belakang mengikut terlalu
dekat. Perkara sebeginilah yang perlu dielakkan dalam usaha mengurangkan kadar
kemalangan jalan raya.
Pihak-pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan
masing-masing dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara
kita. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Di Raja Malaysia
(PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat Malaysia (SPAD) mahupun organisasi
berkaitan yang lain perlu berganding bahu dalam mengurangkan kes kemalangan
jalan raya ini. Sekatan-sekatan jalan raya serta rondaan secara berkala mampu
mengurangkan risiko kemalangan atau paling tidak mendisiplinkan pemandu ketika
berada di jalan raya. Namun demikian, pemantauan yang dibuat perlulah secara
berterusan dan bukannya mengikut musim kerana kemalangan boleh berlaku pada
bila-bila masa sahaja.
Langkah terakhir dalam menangani isu yang kian membarah
ini sudah tentulah melalui penganjuran kempen-kempen kesedaran dalam hal yang
berkaitan keselamatan jalan raya. Pihak swasta dalam hal ini juga boleh
menjalankan tanggungjawab sosial mereka dalam menyampaikan kempen-kempen
tersebut melalui media massa seperti televisyen, radio, akhbar mahupun
Internet. Kempen-kempen yang dijalankan ini perlulah dibuat secara berterusan
dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam ataupun melepaskan batok di
tangga. Secara tidak langsung masyarakat akan tahu pihak kerajaan mahupun
penganjur kempen ini bersungguh-sungguh dalam usaha mengurangkan kecelakaan
jalan raya.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa, banyak langkah yang
boleh diambil oleh individu, masyarakat mahupun negara dalam mengurangkan kadar
kemalangan jalan raya. Semua pihak ini perlulah berganding bahu bagai aur
dengan tebing supaya setiap langkah yang diambil mendatangkan kesan yang
positif. Jika segala langkah telah diambil dan dijalankan dengan sewajarnya,
tidak mustahil kita dapat melihat negara yang dicintai ini berkembang menuju ke
arah status negara maju setanding dengan negara-negara maju yang lain. Kadar
kemalangan jalan raya yang berkurang juga boleh menggalakkan pelaburan asing ke
negara kita yang secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi
negara.
Terima kasih cikgu.Bahan ini sangat membantu saya untuk membuat karangan.
ReplyDeleteTerima kasih cikgu.Syarahan ini membuat saya senang nak belajar.Saya sangat sangat sangat......faham. tq💪💪💪
ReplyDeleteKarangan ini sangat bagus. Terbaik!
ReplyDeleteTq cikgu
ReplyDeleteTerima kasih cikgu
ReplyDeletevery good
ReplyDelete