google.com, pub-6310673978684249, DIRECT, f08c47fec0942fa0google.com, pub-6310673978684249, DIRECT, f08c47fec0942fa0 google.com, pub-6310673978684249, DIRECT, f08c47fec0942fa0 Cikgu GK: 2020

Thursday 9 July 2020

Faktor Menggalakkan Pelancongan di Malaysia

    Malaysia merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di dunia. Saban tahun, jumlah pelancong yang direkodkan semakin bertambah bukan sahaja pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia malah turut menjadi tumpuan pelancong asing dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Industri pelancongan ini juga mempunyai potensi besar dan mampu dijadikan sumber ekonomi baharu yang menguntungkan. Justeru, banyak syarikat besar yang tumbuh “bak cendawan selepas hujan” mahupun agensi kerajaan yang giat melaksanakan usaha bagi menarik pelancong berkunjung ke Malaysia. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pelancong.

    Antara faktor tersebut adalah kerana Malaysia mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan pelancong asing yang berkunjung ke negara kita. Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti ini dapat menarik pelancong dari dalam dan dari luar negara.

Petronas Towers 1080P, 2K, 4K, 5K HD wallpapers free download ...

    Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga disebabkan oleh keadaan iklim semula jadinya yang panas sepanjang tahun. Corak iklim seperti ini amat digemari oleh pelancong asing khususnya pelancong dari negara-negara barat seperti negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ramai pelancong barat yang mengambil kesempatan bercuti di Malaysia untuk berjemur di bawah sinaran matahari terik terutamanya di kawasan pantai yang terdapat di Malaysia. Hal ini disebabkan juga oleh keadaan pantai yang terdapat di Malaysia amat cantik, bersih dan berpasir putih. Di kawasan pantai ini juga disediakan pelbagai aktiviti untuk para pelancong seperti berkayak, berperahu layar mahupun mandi-manda. Oleh itu, keistimewaan tersebut berjaya menambat hati para pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.

    Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga turut disebabkan oleh kewujudan banyak pulau yang indah dan menarik. Di antara pulau yang menjadi tumpuan para pelancong di negara kita termasuklah Pulau redang, Pulau Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini dijaga dengan rapi bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk kunjungan para pelancong. Para pelancong juga akan dapat merasai “syurga dunia” dengan melakukan aktiviti skuba di kawasan batu karang yang terletak di Pulau Kapas sehingga diakui sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia. Bagi memastikan pelancong dapat menikmati keindahan semula jadi di kawasan pulau tersebut, kerajaan telah mewartakan kawasan itu sebagai Taman Laut. Jadi, dengan adanya keistimewaan tersebut, Malaysia dapat menarik lebih ramai pelancong yang sekaligus dapat menjana kemajuan industri pelancongan negara.

    Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti Sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.

    Peranan pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan pelancongan juga turut memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Sebagai contohnya, Kementeria Pelancongan telah mengadakan pelbagai pertunjukan kebudayaan dan destinasi pelancongan Malaysia ke beberapa buah negara sebagai usaha mempromosikan Malaysia kepada pelancong asing. Tumpuan promosi bukan sahaja terhad ke negara-negara Eropah atau Amerika Syarikat malah meliputi semua negara di dunia termasuk di Asia Barat dan di Asia Timur. Pada masa yang sama, kerajaan juga turut mengadakan pelbagai aktiviti tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong seperti mengadakan Pesta Flora Kuala Lumpur, Pesta Makanan Tradisional Malaysia, sukan Le Tour De Langkawi dan sebagainya. Malaysia juga turut memperkenalkan konsep pelancongan baru seperti “ekopelancongan”, “agrotourism”, pelancongan perubatan, pelancongan pendidikan dan lain-lain. Dengan usaha yang berterusan ini maka sektor pelancongan di Malaysia semakin berkembang maju.

    Intihanya, sektor pelancongan merupakan sektor baru yang berpotensi untuk menyumbang pada ekonomi negara. Industri ini masih perlu diterokai kerana “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Justeru, peranan kerajaan dan agensi pelancongan berserta dengan kerjasama daripada semua masyarakat adalah amat diperlukan. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka.


Malaysia scenery 1080P, 2K, 4K, 5K HD wallpapers free download ...


Kebaikan bergotong-royong

    Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik marcapada ini, kita seyogianya memahami maksud amalan bergotong royong. Amalan ini merupakan budaya yang dipraktikkan sejak generasi dulu dan amalan ini dianggap tak basah dek hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya atau amalan bangsa agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya generasi alaf baharu ini. Yang berlaku sekarang, budaya yang diingini hanyalah keseronokan dan keselesaan yang tidak mahu dipertanggungjawabkan. Fenomena ini melunturkan semangat memupuk amalan bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang tidak mengenali maksud gotong-royong dan melaksanakannya? Berapakah peratus daripada golongan muda generasi kini yang telah bergotong-royong untuk membersihkan sesuatu tempat? Oleh hal yang demikian,kita mestilah mengenali faedah bergotong-royong dan menjalankan kegiatan bergotong-royong ini.


    Amalan bergotong-royong dapat memperindah tempat tinggal. Kebersihan tempat tinggal merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar
 indah khabar daripada rupa. Sebagai insan biasa, kita tentu mahu akan kecantikan tempat tinggal kita dipuji oleh orang lain. Dengan menjalankan amalan bergotong–royong kita dapat memperindah sendiri kawasan tempat tinggal dan memahami jiran dengan lebih mendalam. Fenomena ini persis peribahasa tak kenal maka tak cinta. Apabila kawasan tempat tinggal kita sentiasa bersih dan indah, rakan-rakan sendiri akan menyukai kawasan tempat tinggal kita secara langsung dan akan sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang penghuni bumi, kita boleh mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong dapat menghijaukan bumi. Bak kata peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan mengaktifkan diri dalam amalan bergotong–royong, kita dapat lebih memahami kepentingan kegiatan bergotong-royong dan akan mewujudkan masyarakat yang bekerjasama. Benarlah kata peribahasa, bersatu kita teguh bercerai kita roboh . Kita harus mengapresiasi amalan ini sebelum kewujudannya tidak diketahui lagi. Janganlah kita lupa bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.


    Selain itu, amalan bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti kehidupan yang penting sebagai langkah membersihkan tempat tinggal daripada menjadi vektor penyakit. Dengan berbuat begitu, kita dapat mencegah dan menjauhi penyakit. Kata Tun Dr. Mahathir, “
mencegah lebih baik daripada mengubati”. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan sejak kecil kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini sebagai aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang ramai jikalai kita mengaktifkan diri dalam kegiatan bergotong-royong. Oleh hal yang demikian, amalan ini harus diingati dari satu generasi kepada satu generasi. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal .


    Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! Kegiatan bergotong-royong memainkan peranan yang amat penting sebagai agen perpaduan . Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang pemisah antara kaum semakin lebar dari setahun ke setahun kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Dengan menjalankan kegiatan bergotong-royong kita dapat menghapuskan sikap masyarakat yangseperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apabila seseorang yang berlainan kaum berinteraksi dengan seseorang yang berlainan kaum, kita dapat mengenali kebudayaan kaum-kaum masing- masing kerana masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak. Melaui kegiatan bergotong-royong, kita akan lebih dapat mempercayai masyarakat sekeliling dan menghormati sesama diri. Dengan ini, kita akan hidup saling membantu bagai aur dengan tebing .


    Melalui kegiatan yang afdal ini , kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari kita. Hal ini dikatakan demikian kerana Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerap pelbagai nilai murni dalam diri. Fenomena ini sama seperti
 sambil menyelam ,minum air. Jelas beliau semasa merasmikan kempen bergotong-royong pada peringkat nasional, awal tahun 2003. Nilai murni yang diterapkan akan mentransformasikan kita sebagai orang yang lebih disukai dan diterima oleh masyarakat. Amalan ini juga mampu memasyarakatkan rakyat Malaysia oleh sebabbulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.


    Aktiviti bergotong-royong sememangnya dapat menghidupkan semangat kejiranan. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengenali jiran secara mendalam. Selepas terlaksananya aktiviti ini , kita akan terpanggil untuk membuka hati kita lalu menegur jiran kita. Pembahagian tugas akan dapat dijalankan semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua orang akan merasai semangat bersatu padu . Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalin dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Bak kata pepatah,
 berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jiran ialah orang yang tinggal di sekitar rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang pertama akan membantu apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Tak percaya? Janganlah lupa bahawa pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat".

    Intihanya , amalan bergotong-royong membawa faedah yang banyak . Dengan mengamalkan semangat ini, bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah dengan secara tidak langsung. Bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Amalan ini tidak akan dilupai. Sebagai penutup wacana, amalan gotong-royong merupakan tanggungjawab yang penting bagi setiap orang untuk mewujudkan kualiti kehidupan yang optimum. Marilah kita belajar amalan yang baik dan amalkannya dalam kehidupan harian. Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.


CARA-CARA MENGHARGAI WARGA TUA (Karangan Ke-2)


    Warga tua merujuk  kepada mereka yang berusia lebih daripada 60 tahun. Mereka merupapan ibu, bapa, datuk atau nenek, bapa saudara atau ibu saudara kita. Mereka merupakan golongan yang paling berjasa kepada keluarga, masyarakat dan negara. Warga tua telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak. Namun, pada hari ini, warga tua sering diabaikan ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan jasa mereka dilupakan oleh masyarakat. Ada sesetengah mereka pula dianggap seperti Quran buruk. Bagaimanapun, jasa dan sumbangan warga tua perlu dihargai oleh semua pihak.  

    Ahli keluarga perlu menyayangi warga tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu melahirkan zuriat dan berperanan mengurus rumah tangga serta mendidik anak-anak. Kaum bapa pula membanting tulang empat kerat mencari rezeki untuk keluarga. Pengorbanan ibu bapa perlu diingati serta dibalas dengan sebaik-baiknya. Sebagai anak, kita perlu menjaga ibu bapa kita ketika mereka tua serta uzur. Anak-anak tidak seharusnya menghantar mereka ke rumah orang tua-tua. Jika mereka berbuat demikian, mereka boleh dianggap sebagai kacang lupakan kulit.          

    Di samping itu, guru menjadi suri teladan menasihati pelajar agar menghormati ibu bapa serta warga tua. Kita perlu memberikan perhatian dan sering mendampingi mereka. Selain itu, anak-anak perlu bertutur dengan sopan apabila berkomunikasi dengan ibu bapa mereka. Ketika bersalam, anak-anak hendaklah mencium tangan mereka. Hal ini demikian kerana kasih ibu membawa ke syurga dan kasih bapa sanggupkah berpisah  berkorban nyawa. Sewajarnya anak-anak tidak mengabaikan warga tua tersebut.   

    Seterusnya, kerajaan dan pihak swasta turut berperanan menghargai warga tua. Kerajaan dan pihak swasta hendaklah berganding bahu seperti aur dengan tebing. Kedua-dua pihak tersebut hendaklah menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contoh,  rumah penjagaan warga tua yang mempunyai pelbagai kemudahan penjagaan hendaklah disediakan untuk mereka. Di samping itu, warga tua juga hendaklah diberikan rawatan percuma di hospital kerajaan. Sekiranya memerlukan bayaran, mereka hendaklah dikenakan kadar bayaran rendah di hospital kerajaan atau klinik swasta. Keperihatinan tersebut menunjukkan sikap mengambil berat tanpa mengira pangkat, demi keselesaan warga tua.    

    Media massa tidak terkecuali dalam usaha menghargai warga tua. Media massa seperti surat khabar dan televisyen serta Internat boleh menyiarkan cerita-cerita yang berkaitan  dengan pengorbanan dan penderitaan hidup warga tua. Sebagai contoh,  rancangan yang disiarkan oleh TV3, iaitu ’Bersamamu”, menunjukkan terdapat pelbagai pihak yang sanggup menghulurkan bantuan khususnya kepada warga tua yang daif. Hal ini menyedarkan kita tentang pentingnya warga tua dalam hidup kita. Oleh itu, kita tidak boleh mengabaikan warga tua. 

         

    Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa  dan pengorbanan warga tua. Tanpa mereka siapalah kita. Jangan sesekali kita bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing kerana suatu hari nanti, kita juga pasti akan menjadi ’tua’ juga. Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang telah berkorban melahirkan,  membesarkan, dan mendidik anak-anak hingga berjaya dalam hidup.