google.com, pub-6310673978684249, DIRECT, f08c47fec0942fa0google.com, pub-6310673978684249, DIRECT, f08c47fec0942fa0 google.com, pub-6310673978684249, DIRECT, f08c47fec0942fa0 Cikgu GK: February 2019

Friday, 8 February 2019

Kebaikan Amalan Rumah Terbuka

Amalan rumah terbuka sudah menjadi lumrah untuk sambutan perayaan di negara ini termasuk Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baru Cina dan Hari Krismas. Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga pelbagai lapisan masyarakat mengetahui istilah rumah terbuka yang amat sinonim dalam kehidupan mereka sejak turun-temurun.  Perayaan-perayaan ini seakan-akan tidak pernah engsot dari bibir masyarakat, bak kata pepatah, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Pada tahun 2000, kerajaan Malaysia telah memutuskan sebanyak enam perayaan kaum atau agama dianggap sebagai perayaan utama negara yang diraikan julung-julung kalinya di peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Dengan adanya rumah terbuka, mudahlah seseorang itu untuk mengunjungi rumah saudara-mara, jiran-jiran dan rakan-rakan kerana tarikh dan masanya sudah ditetapkan. Menyedari kesungguhan kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional, persoalan yang menerjah dan menerawang dalam bidang ini ialah ‘Apakah kepentingan amalan rumah terbuka kepada masyarakat dan negara?’. Oleh hal yang demikian, hal ini pasti akan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni seperti kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan kemaslahatan terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita. Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. Selain itu, amalan rumah terbuka memberikan makna besar kepada anggota masyarakat mengenai perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis terhadap keharmonian kaum. Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu pertemuan yang melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan. Keadaan ini persis peribahasa buang yang keruh, ambil yang jernih. Jadi, setiap kaum seperti Melayu, India, Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa sebarang kekangan yang perlu dibimbangi. Sehubungan dengan itu, golongan remaja pula mudah memahami erti perpaduan kepada negara ini. Mereka yang tidak mengalami kesusahan ketika era awal kemerdekaan mungkin memandang enteng perpaduan. Namun, apabila mereka melihat suasana perayaan barulah mereka memahami dan menyanjungi erti perpaduan. Keadaan ini menyebabkan remaja yang dilahirkan merupakan remaja berwawasan dan terbilang. Perasaan muhibah yang wujud antara satu sama lain dapat mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni. .Semuanya gara-gara wujudnya perayaan yang pelbagai di negara ini. Cuba bayangkan tiadanya sambutan perayaan di negara ini? 

Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan kepentingan terutamanya dalam memperkenalkan budaya dan adat resam kaum lain di negara kita. Dalam hal ini, mereka hanya akan meraikan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan juga agama. Sebagai contohnya, masyarakat Malaysia seperti orang-orang Cina, India, Iban dan Kadazan akan mengetahui makanan tradisional kaum Melayu apabila merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan tetamu yang lain.  Jadi, sudah tentu perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara tidak langsung perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini akan dapat dimantapkan. Amalan ini juga membolehkan setiap kaum mengenali budaya kaum-kaum lain setrusnya memahami antara satu sama lain selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan mereka sendiri. Perkara ini sudah tentu akan mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Negara kita. Secara tidak langsung, semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi sekarang. Tuntasnya, budaya dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu, iaitu "Tak kenal maka tak cinta".

Kepentingan mengadakan rumah terbuka seterusnya ialah dapat mewujudkan semangat kerjasama antara rakyat Malaysia. Sikap kerjasama ini terjalin apabila masyarakat Malaysia bersatu padu dalam menjayakan sesuatu program. Sebagai contoh, penduduk yang tinggal di kampung  mahupun di bandar yang bakal mengadakan rumah terbuka akan meminta bantuan jiran dan saudara mara atau rakan-rakan menyediakan juadah untuk majlis rumah terbuka mereka. Melalui aktiviti gotong-royong sebegini akan wujudlah sikap kerjasama kerana kerana semua orang akan berusaha untuk menyiapkan hidangan tersebut. Segala kerja yang susah akan menjadi mudah dengan adanya sikap kerjasama ini persis peribahasa Melayu, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Sikap tolong-menolong bagai aur dengan tebing ini sememangnya sudah menjadi amalan masyarakat Malaysia sejak dahulu lagi. 

Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan dalam kepentingan amalan rumah terbuka kepada negara ialah memberi imej yang baik kepada negara untuk menarik perhatian pelancong-pelancong asing. Antaranya ialah penganjuran rumah-rumah terbuka merupakan persembahan kepada pelancong asing yang datang melancong di negara kita. Pandangan masyarakat terutama orang luar turut berubah. Negara akan dilihat sebagai mempunyai keunikan perayaan yang tidak mampu dilihat di negara lain. Kepelbagaian perayaan ini memberi satu bentuk unik dalam pandangan orang asing terhadap negara ini. Lantaran itu kehadiran pelancong asing turut bertambah kerana mereka ingin dan berpeluang melihat pelbagai perayaan dalam sebuah negara daripada pergi ke beberapa negara untuk melihat pelbagai perayaan. Malaysia satu negara tetapi banyak perayaan. Hal ini kerana mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong dan menikmati keindahan Negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan memahami sendiri keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini semasa menyambut perayaan kaum masing-masing. Memetik kata-kata Hamka, bagaimanapun jua kita hidup mesti beradat, dihapus adat lama pasti timbul adat baru. Kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari Gawai, Deepavali dan Krismas.  Pengalaman pelancong asing meraikan perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia akan menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka sekali gus dapat menaikkan industri pelancongan Negara. Izharlah bahawa konsep rumah terbuka dapat memberikan persembahan yang harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat hidup di bawah payung keharmonian.  
       
Pada kaca mata berbeza, pendapatan negara semakin meningkat apabila industri pelancongan di negara kita semakin maju. Pelancong asing akan bertandang ke negara kita kerana mereka teruja akan cara-cara masyarakat majmuk menyambut rumah terbuka. Jabatan Perangkaaan Negara juga menjelaskan bahawa hasil terimaan pelancong meningkat sebanyak 3.1 peratus pada tahun 2011 dan dijangka akan terus meningkat saban tahun. Rumah terbuka dapat menjadi salah satu platform dalam meningkatkan industri pelancongan Malaysia. Selain itu, sikap toleransi dan persefahaman multi etnik yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia sudah menjadi salah satu daya tarikan yang kuat dalam kalangan pelancong asing kerana konsep yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing telah lama sebati dan menjadi pegangan utuh masyarakat kita. Pelancong juga sudah tentu teringin melihat kebudayaan yang sebelum ini belum pernah dilihat. Hal ini disebabkan segala kebudayaan yang unik ini dipersembahkan dalam bentuk yang asli. Tuan rumah dan tetamu yang hadir mengenakan pakaian tradisi masing-masing. Juadah yang dihidangkan juga mengutamakan hidangan tradisi, maka masyarakat Malaysia mahupun masyarakat antarabangsa dapat menyelami budaya semua kaum di negara ini dengan lebih dekat. Hasilnya, kesemua keunikan ini telah menjadi magnet tarikan kepada pelancong.

Dalam merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama ibarat ke bukit sama didaki ke lurah sama dituruni bagi menyokong amalan rumah terbuka ini. Jika tidak, kita akan dipandang rendah oleh negara lain. Budaya rumah terbuka ini menunjukkan bahawa Malaysia sebenarnya sebuah negara yang unik. Keunikan inilah yang telah membawa nama negara di persada antarabangsa setanding dengan negara-negra maju yang lain bak kata pepatah, berdiri sama tinggi duduk sama rendah. Semoga kita dapat melahirkan masyarakat dan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Buktinya ialah kerajaan tidak boleh melaksanakan tugas seperti melepaskan batuk di tangga. Manakala, masyarakat pula tidak sewajarnya mengamalkan peribahasa bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dalam menyokong isu ini. Yang pasti, jika amalan murni ini dibudayakan sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Gagasan Satu Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di dalam peta dunia namun usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dapat dijadikan teladan kepada mata dunia. Kerjasama yang erat akan dapat merealisasikan hasrat Perdana Menteri yang bertepatan dengan slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Jadi, semua anggota masyarakat haruslah memahami dan menghayati konsep rumah terbuka yang sebenarnya agar hasrat yang dicita-citakan akan dapat dicapai.