Malaysia merupakan salah satu destinasi
pelancongan utama di dunia. Saban tahun, jumlah pelancong yang direkodkan
semakin bertambah bukan sahaja pelancong dari negara jiran seperti Singapura,
Thailand dan Indonesia malah turut menjadi tumpuan pelancong asing dari Asia
Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Industri pelancongan ini juga mempunyai
potensi besar dan mampu dijadikan sumber ekonomi baharu yang menguntungkan.
Justeru, banyak syarikat besar yang tumbuh “bak cendawan selepas hujan” mahupun
agensi kerajaan yang giat melaksanakan usaha bagi menarik pelancong berkunjung
ke Malaysia. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Malaysia
menjadi tumpuan pelancong.
Antara faktor tersebut adalah kerana Malaysia mempunyai banyak
tempat menarik untuk dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan
pelancong asing yang berkunjung ke negara kita. Sebagai contohnya, Malaysia
memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti
Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat
menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai
tanaman hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia
juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia
lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat
menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan
kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan
kawasan reakrasi seperti ini dapat menarik pelancong dari dalam dan dari luar
negara.
Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga
disebabkan oleh keadaan iklim semula jadinya yang panas sepanjang tahun. Corak
iklim seperti ini amat digemari oleh pelancong asing khususnya pelancong dari
negara-negara barat seperti negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ramai pelancong
barat yang mengambil kesempatan bercuti di Malaysia untuk berjemur di bawah
sinaran matahari terik terutamanya di kawasan pantai yang terdapat di Malaysia.
Hal ini disebabkan juga oleh keadaan pantai yang terdapat di Malaysia amat
cantik, bersih dan berpasir putih. Di kawasan pantai ini juga disediakan
pelbagai aktiviti untuk para pelancong seperti berkayak, berperahu layar
mahupun mandi-manda. Oleh itu, keistimewaan tersebut berjaya menambat hati para
pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.
Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita
juga turut disebabkan oleh kewujudan banyak pulau yang indah dan menarik. Di
antara pulau yang menjadi tumpuan para pelancong di negara kita termasuklah
Pulau redang, Pulau Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini
dijaga dengan rapi bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk
kunjungan para pelancong. Para pelancong juga akan dapat merasai “syurga dunia”
dengan melakukan aktiviti skuba di kawasan batu karang yang terletak di Pulau
Kapas sehingga diakui sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia. Bagi
memastikan pelancong dapat menikmati keindahan semula jadi di kawasan pulau
tersebut, kerajaan telah mewartakan kawasan itu sebagai Taman Laut. Jadi,
dengan adanya keistimewaan tersebut, Malaysia dapat menarik lebih ramai
pelancong yang sekaligus dapat menjana kemajuan industri pelancongan negara.
Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air
dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia
merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya
menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India
telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu
umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula
terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai
makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu
misalnya terkenal dengan makanan seperti Sate, ketupat dan rendang manakala
kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain.
Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya
tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.
Peranan pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan
pelancongan juga turut memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Sebagai
contohnya, Kementeria Pelancongan telah mengadakan pelbagai pertunjukan
kebudayaan dan destinasi pelancongan Malaysia ke beberapa buah negara sebagai
usaha mempromosikan Malaysia kepada pelancong asing. Tumpuan promosi bukan sahaja terhad ke negara-negara Eropah atau
Amerika Syarikat malah meliputi semua negara di dunia termasuk di Asia Barat
dan di Asia Timur. Pada masa yang sama, kerajaan juga turut mengadakan pelbagai
aktiviti tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong seperti mengadakan Pesta
Flora Kuala Lumpur, Pesta Makanan Tradisional Malaysia, sukan Le Tour De
Langkawi dan sebagainya. Malaysia juga turut memperkenalkan konsep pelancongan
baru seperti “ekopelancongan”, “agrotourism”, pelancongan perubatan, pelancongan
pendidikan dan lain-lain. Dengan usaha yang berterusan ini maka sektor
pelancongan di Malaysia semakin berkembang maju.
Intihanya, sektor pelancongan merupakan sektor baru yang
berpotensi untuk menyumbang pada ekonomi negara. Industri ini masih perlu
diterokai kerana “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”.
Justeru, peranan kerajaan dan agensi pelancongan berserta dengan kerjasama
daripada semua masyarakat adalah amat diperlukan. Semoga melalui keprihatianan
dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi
sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil
merehatkan minda mereka.