Friday, 17 February 2017
Cara-cara untuk mengatasi kemalangan jalan raya
Faktor Jerebu
Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini sering berhadapan dengan masalah jerebu yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana telah acapkali melanda negara kita. Pada tahun 2005, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah menyebabkan jerebu yang teruk di Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang telah diiystiharkan darurat kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi 500, iaitu tahap darurat. Pada tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku sekali lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang kontroversi ini, sebenarnya disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang tua-tua , “ jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang ”.
Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialah pembakaran hutan secara besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu meningkat . Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di muka bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita. Natijahnya, udara kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu.
Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan juga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Sesetengah rakyat negara pula melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Jadi, mereka telah mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap mereka tanpa kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit membawa kepada masalah jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar jerami padi untuk membersihkan kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula. Mereka tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya, pembakaran terbuka ini melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan jerebu.
Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya. Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap pencemar. Gas-gas pencemar ini merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gas-gas yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.
Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri yang tidak terkawal. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung pada bidang perindustrian yang mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan keadaan jerebu di negara kita lagi.
Sebagai penutup bicara, jerebu merupakan fenomena alam yang memberi kesan yang buruk kepada manusia. Fenomena jerebu yang disebabkan oleh proses alam semula jadi tidaklah menyebabkan jerebu yang buruk berbanding dengan jerebu yang disebabkan oleh aktiviti manusia. Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini, sebaliknya langkah-langkah efektif perlu diambil sebelum kemelut tersebut berada di luar kawalan persis kata orang tua-tua, “sebelum nasi menjadi bubur”. Sekiranya masalah jerebu tidak mendapat perhatian ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan nilai cinta akan alam sekitar. Oleh itu, semua wargabumi haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah berjerebu di Malaysia yang semakin serius supaya masyarakat sejagat dapat hidup dengan selamat. Tidak gunanya kita meratapi kehilangannya suatu ketika nanti jika langkah-langkah pencegahan tidak dimulakan dan dilakukan dari sekarang kerana pepatah melayu ada berbunyi, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.