Tuesday, 1 January 2019
Cara-cara mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita (Kertas 1)
Sebenarnya, terdapat beberapa cara untuk kita mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita. Pertama sekali, kita mestilah berusaha membina semangat kejiranan yang baik dalam kehidupan seharian. Dengan ini, nilai hormat-menghormati antara kaum akan terbentuk dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita. Kita juga selalu dinasihati agar senantiasa bersikap toleransi dan bertolak ansur terhadap amalan dan budaya masyarakat majmuk Malaysia. Rakyat yang hidup aman, makmur dan harmoni akan menghasilkan masyarakat yang progresif.
Selain itu, kita dapat mengeratkan perpaduan kaum dengan melibatkan diri secara proaktif dalam sambutan perayaan utama kaum-kaum di Malaysia. Program rumah terbuka, amalan kunjung-mengunjungi pada musim perayaan Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas, usaha sama dalam dunia perniagaan dan lain-lain dapat merapatkan hubungan dan menjauhkan perseteruan. Bersempena dengan musim perayaan juga, kita dapat mengambil peluang untuk mendalami nilai budaya kaum-kaum yang terdapat di Malaysia. Jelasnya, rakyat jelata dapat hidup aman damai dan bersatu padu ke arah menjayakan gagasan Satu Malaysia.
Pada zaman teknologi, kita sepatutnya memanfaatkan penggunaan media massa dan teknologi maklumat dengan sepenuhnya. Media massa dapat membantu menyiarkan rencana dan drama khas untuk menyemaikan perpaduan antara kaum. Kaedah ini dapat menyampaikan mesej yang tepat secara langsung kepada rakyat jelata di segenap pelosok tanah air sekali gus mananamkan semangat perpaduan, muhibah dan jati diri dalam kalangan rakyat.
Seterusnya, pihak kerajaan berperanan penting untuk menyatupadukan rakyat melalui pelbagai perancangan dan program menjurus kepada gagasan Satu Malaysia. Misalnya, dalam bidang pendidikan, guru dapat memainkan peranan yang proaktif untuk menyemaikan nilai-nilai kerjasama dan persefahaman dalam kalangan murid melalui mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Siviks dan Kewarganegaraan, Pendidikan Moral dan Sejarah. Usaha gigih guru juga boleh diterjemahkan dalam aspek kokurikulum yang melibatkan murid-murid dalam kegiatan unit beruniform, kelab atau persatuan dan permainan. Misalnya, penglibatan murid-murid yang beraneka kaum dan agama dalam program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) dan aktiviti perkhemahan perdana pada setiap tahun.
Pendek kata, kita haruslah bersikap sehati sejiwa dalam usaha merealisasikan perpaduan kaum dalam kelangan rakyat Malaysia yang berlainan kaum, agama dan latar belakang kehidupan bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Jelaslah bahawa perpaduan rakyat dapat membangunkan dan memakmurkan bangsa dan negara menjelang Wawasan 2020!
Saturday, 7 April 2018
Cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat.
Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan masyarakat pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia. Semakin hari, masalah wabak pelbagai penyakit semakin menjalar dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia tua atau muda. Jika dahulu masalah darah tinggi dan kencing manis merupakan penyakit yang sering dihadapi oleh golongan tua tetapi pada hari ini golongan kanak-kanak juga sering dihantui penyakit berkenaan. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011, angka pesakit yang menghadapi masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200 000 orang pesakit melebihi bilangan pesakit pada tahun sebelumnya. Sebenarnya masalah kesihatan masyarakat mampu diatasi dengan pelbagai cara terutamanya dengan kemudahan prasarana berkaitan kesihatan semakin banyak disediakan oleh pihak kerajaan. Klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa, Hospital Besar merupakan tempat masyarakat mendapat kemudahan rawatan kesihatan. Persoalannya, mengapakah kadar pertambahan bilangan pesakit yang tidak mengenal usia berlaku pada zaman sekarang? Bak kata pepatah, setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Salah satu daripadanya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagaimanakah caranya untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat?
Mari kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci pengambilan makanan seimbang. Kebanyakan rakyat Malaysia mengganggap pengambilan makanan seimbang ialah diet. Sebenarnya, tanggapan masyarakat mengenai perkara tersebut adalah salah sama sekali.Hal ini kerana pengambilan makanan seimbang bermaksud pengambilan makanan oleh seseorang individu yang mengandungi semua nutrien dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan secara seimbang. Jika kita merujuk piramid makanan, pembahagian pemakanan terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut keperluan makanan berdasarkan seorang manusia normal. Bahagian bawah piramid makanan merupakan kumpulan makanan mengandungi karbohidrat, diikuti dengan kumpulan makanan yang mengandungi vitamin, mineral, dan serat, seterusnya kumpulan makanan yang mengandungi protin, dan terakhir bahagian atas ialah kumpulan makanan mengandungi lemak. Piramid makanan juga merupakan panduan kepada pengguna dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak di bahagian atas sekali, seperti lemak dan gula,. Oleh sebab itu, makanan berlemak hanya perlu kita ambil dalam kuantiti sedikit. Berbanding kandungan karbohidrat perlu diambil dalam kuantiti yang banyak kerana makanan seperti ini membekalkan kita tenaga untuk menjalani kehidupan seharian, contohnya nasi, roti, dan bijirin. Seorang ahli falsafah Yunani iaitu Socrates berkata " Aku makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan." Tegasnya, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang setiap hari.
Seterusnya, mari kita lebarkan lensa perbincangan dengan memperkatakan gaya hidup sihat iaitu menjalankan aktiviti rekreasi. Sebagai mana yang kita sedia maklum, kegiatan rekreasi merupakan aktiviti yang berfaedah terutama untuk mengisi masa senggang, merehatkan minda dan mengelakkan stress, selain menyehatkan badan. Pada abad milenium ini, banyak tempat rekreasi, sama ada bertemakan air, alam sekitar dan sebagainya. Dengan adanya pusat rekreasi, anak muda atau remaja boleh menyertai aktiviti berkenaan dengan mandaftar diri dan menyertai program yang dianjurkan seperti kursus berkayak, mendaki gunung, , menyelam, "jungle tracking" dan sebagainya. Bagaimana kegiatan rekreasi ini dapat menyihatkan tubuh badan? Aktiviti rekreasi merupakan aktiviti mencabar. Sebelum melakukan aktiviti berkenaan, peserta selalunya diminta untuk melakukan aktiviti regangan agar seluruh sendi dan sistem kardivaskular kita bersedia terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti berkenaan. Bahkan juga, dengan adanya aktiviti regangan dan pemanasan badan, kadar pengaliran darah dan pergerakan jantung akan stabil sebelum peserta melakukan aktiviti yang berat. Selain itu, kelenjar endokrin dan kelenjar adrenalina akan merembeskan peluh yang mengandungi toksin untuk disingkirkan daripada badan. Oleh sebab itu, badan kita akan menjadi sihat dan sukar untuk dijangkiti patogen-patogen penyakit. Kebiasaanya, seorang fasiltator akan memberi penerangan kepentingan melakukan regangan dan peringatan mengenai langkah-langkah menjaga keselamatan sepanjang program rekreasi diadakan untuk mengelak sebarang kemalangan atau kecederaan. Bak kata pepatah, malang tidak berbau dan sediakan payung sebelum hujan. Justeru, tahap keselamatan peserta lebih terjamin semasa melakukan aktiviti lasak tersebut. Hal ini jelas menunjukkan aktiviti berekreasi merupakan satu cara untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan.
Mari kita meneruskan perbincangan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam membicara aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Sebagaimana kita maklum, remaja tidak lari daripada melakukan aktiviti sukan dalam kehidupan mereka sejajar dengan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan pelaksanaan Program 1 Murid 1 Sukan yang mewajibkan pelajar sekurang-kurang menyertai satu aktiviti sukan di sekolah. Bahkan juga,Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah 10% syarat kemasukan ke universiti berdasarkan pencapaian pelajar dalam bidang kokurikulum antaranya sukan permainan. Namun, pelaksanaan program ini belum mencapai objektifnya kerana sebilangan pelajar masih belum membudayakan diri mereka untuk bersukan dan penglibatan mereka dalam aktiviti berkenaan hanya sekadar untuk penyertaan bukan sebagai budaya. Sebenarnya, pucuk pangkal permasalahan berkenaan terus berlaku akibat masyarakat masih belum mengetahui akan manfaat dan kepentingan sukan dalam kehidupan mereka. Dengan bersukan, masyarakat akan mendapat manfaat iaitu selain menyihatkan badan, mereka juga akan dapat mencergaskan minda mereka. Hal ini kerana ketika bersukan oksigen akan diserapkan ke dalam badan dengan lebih cepat dan akan mengaktifkan sel-sel badan menjalankan proses respirasi, disamping aliran oksigen ke otak akan lebih aktif. Secara langsung neuron-neuron otak juga akan bersambung dan badan akan menerima cas-cas positif yang berfungsi untuk menyihatkan badan dan mencerdaskan otak. Kebaikannya kepada pelajar, mereka tidak akan mudah mengantuk semasa berada di dalam kelas dan sudah pasti proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih bermakna. Pepatah Arab ada mengatakan bahawa minda cerdas lahir daripada badan yang sihat. Justeru, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti bersukan.
Akhir sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah penting dalam memastikan tahap kesihatan kita sentiasa berada di bawah paras bahaya. Masyarakat Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan terutamanya di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia amat mengambil berat dalam menyediakan prasarana dan kemudahan kesihataperkhidmatan bertaraf dunia. Hal ini boleh kita lihat di setiap pelusuk negara terdapat pusat rawatan sama ada klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa dan Hospital Besar sentiasa terbuka untuk dikunjungi oleh rakyat yang sedar akan kepentingan kesihatan mereka. Bahkan juga, pengamal perubatan yang sedia merawat pesakit adalah lepasan universiti dikerah berkhidmat di pusat rawatan daerah, dan negeri agar setiap masyarakat mudah untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Berbading suatu ketika dahulu, pesakit yang memerlukan rawatan daripada seorang doktor hanya boleh mendapat perkhidmatan mereka di hospital desa atau hospital besar. Rawatan kesihatan amat penting supaya setiap warganegara akan tahu tahap dan darjah kesihatan mereka dari semasa ke semasa. Apabila kita melakukan rawatan kesihatan secara berskala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali perkembangan kesihatan kita boleh dipantau oleh pengamal perubatan atau doktor dengan sebaik-baiknya. Natijahnya cukup positif kerana pengesanan penyakit secara awal akan memudahkan mereka mendapat rawatan yang sepatutnya. Secara langsung pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa kerana kadang kala penyakit menyerang tanpa disedari terutama penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, kecing manis dan serangan jantung. Contohnya, sekiranya pesakit mengalami penyakit kencing manis para doktor berpengalaman akan menasihatkan pesakit mengawal kaedah pemakanan yang sesuai dan sekiranya pesakit mengalamai masalah diabetis yang kronik suntikan insulin akan dilakukan untuk mengawal paras gula dalam badan. Pepatah ada menyebut " mencegah lebih baik daripada merawat." Tegasnya mendapat pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah sangat penting dalam memastikan tahap kesihatan masyarakat dalam keadaan baik.
Kesimpulannya, pengamalan gaya hidup sihat merupakan inisiatif kita sendiri. Jika kita inginkan kesihatan kita sentiasa sihat, kita perlulah melibatkan diri dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan kita seperti pengambilan makanan seimbang, melakukan aktiviti rekreasi, menyertai aktiviti sukan dan mendapatkan rawatan kesihatan secara sempurna. Oleh itu, untuk menyokong kerajaan dalam merealisasikan Wawasan 2020, kita perlulah memastikan tahap kesihatan kita dalam keadaan terbaik kerana pekerja, pentadbir, dan pemimpin yang sihat jasmani, rohani, emosi dan inteleknya sahaja yang akan dapat membantu menggapai cita-cita pemimpin untuk memastikan Malaysia mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Justeru, kesihatan merupakan aset paling penting sebagai warganegara Malaysia kerana bak kata pepatah, kesihatan itu lebih penting daripada wang ringgit yang menggunung.
Thursday, 11 January 2018
Cara-cara untuk menghargai warga tua
Tuesday, 16 May 2017
PERIBAHASA DAN UNGKAPAN MENARIK
2. Darah dagingMaksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.
3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjingMaksud : mengalami susah senang bersama-sama.
4. meninggi diriMaksud : Sombong
5. bermuka duaMaksud : Tidak jujur.
6 baik hatiMaksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).
7. tulang belakangMaksud : Punca kekuatan/ orang harapan
8. bara yang digenggam biar sampai jadi arangMaksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.
9. bagai kaca terhempas ke batuMaksud : Sangat sedih atau kecewa.
10. melentur buluh biarlah dari rebungnyaMaksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.
11. duduk sama rendah, berdiri sama tinggiMaksud : dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat
12. seperti lembu dicucuk hidungMaksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang
13. yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjingMaksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.
14. dayung sudah di tangan, perahu sudah di airMaksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.
15. terang hatiMaksud : Lekas pandai.
16. rendah hatiMaksud : Tidak sombong
17. murah hatiMaksud : Pemurah.
18. tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panasMaksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.
19. Tangan kosongMaksud : Hampa.
1. lintah daratMaksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.
2. bagai aur dengan tebingMaksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.
3. anak dagangMaksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat
4. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiriMaksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.
5. kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantaiMaksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah
6. indah khabar daripada rupaMaksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.
7. hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecahMaksud : Pengagihan yang sama banyak.
8. bukit sama didaki, lurah sama dituruniMaksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.
9. kacang lupakan kulitMaksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.
10. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjungMaksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.
11. masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguakMaksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan
12. ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semuaMaksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya..
13. memerah otakMaksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.
14. kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunyaMaksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah
Monday, 24 April 2017
Peranan Ibu bapa Mendidik Anak-anak
Pernyataan ‘keluarga bahagia tunjang kemakmuran negara’ jelas menunjukkan bahawa keluarga memang memainkan peranan yang penting dalam membentuk keperibadian mulia kanak-kanak. Remaja kini sering melibatkan diri dalam masalah sosial yang telah mencetuskan isu polemik dalam kalangan media massa yang saban hari meniti dari bibir ke bibir. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Sudah tentu, sesuatu perkara berlaku tentu ada sebab-sebab yang mendorongnya keranapepohon pokok tidak akan berliuk-lintuk jika tidak ditiup angin. Pembentukan keperibadian mulia anak-anak bermula daripada institusi keluarga. Sesebuah keluarga dibentuk dengan peranan ibu bapa masing-masing.
Ibu bapa seharusnya mementingkan zuriat mereka sendiri daripada kerjaya. Malangnya, kebanyakan ibu bapa kini yang terlalu mementingkan kerjaya sehingga menyebabkan anak-anak mereka di rumah berasa tersisih seperti anak kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah mengimbangkan kerjaya dan kehidupan seharian mereka agar anak-anak dapat mendapat didikan yang baik dari segi fizikal dan mental. Ibu bapa sewajarnya tahu bahawa mujtamak yang kaya dalam kebendaan tetapi muflis dari segi keperibadian akan secara tidak langsung mendampakkan kesan negatif terhadap anak-anak mereka. Oleh itu, keluarga terutamanya ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk membentuk keperibadian anak-anak.
Selain itu, ibu bapa haruslah memberi didikan dan asuhan yang baik sejak kecil lagi keranamelentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak tentunya dapat mengimplimentasikan nilai-nilai murni dan sikap positif ini dalam kehidupan seharian, seterusnya membentuk sanubari yang baik. Ibu bapa merupakan uswah hasanah kepada anak-anak di rumah, oleh hal yang demikian, mereka mestilah sentiasa bersikap penyayang dan berbudi pekerti mulia dan jangan sesekali menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan diri sendiri berjalan mengiring. Sudah terang lagi bersuluh bahawa jati diri anak-anak dapat dibentuk melalui institusi keluarga khususnya ibu bapa yang memainkan peranan yang penting.
Di samping itu, anak-anak yang berfikiran suci akan sentiasa mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana bapa borek, anak rintik. Ibu bapa merupakan tempat luahan isi hati dan penyimpan rahsia yang paling dipercayai anak-anak. Lantaran itu, ibu bapa sewajarnya mengindoktrinasikan pucuk-pucuk hijau dengan nilai-nilai murni ini bagai menatang minyak yang penuh kerana anak-anak remaja kini sering melibatkan diri dalam kebejatan sosial dan budaya hedonisme yang begitu cepat merebak bagai virus epidemik. Melalui nasihat dan ajaran yang baik, sudah tentu anak-anak akan tahu cara-cara untukmembezakan antara intan dengan kaca kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak bergunalagi. Institusi keluarga memang merupakan salah satu langkah yang signifikan dalam membentuk keperibadian anak-anak.
Dalam nada yang berbeza, keluarga yangmarem dan sakinah turut merupakan tempat yang paling baik agar proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan dalam kalangan anak-anak. Sikap-sikap yang positif haruslah disemai dalam jiwa anak masing-masing bentuk menjamin kesejahteraan hidup dan pembentukan keperibadian mulia mereka. Anak-anak yang berusia setahun jagung, berdarah setampuk pinang ini mesti diberi penekanan dari segi mental dan fizikal supaya kelak dapat menjadi tunggak negara.
Intihanya, keluarga merupakan mercu tanda kemakmuran negara dan menggalas tanggungjawab yang berat untuk mendidik anak-anak. Ibu bapa mestilah menjalankan obligasi masing-masing dengan tidak melepaskan batuk di tangga. Jikalau anak-anak kini berjaya membentuk keperibadian yang mulia, sudah tentu anak remaja yang merupakan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara ini dapat menjadi pemimpin yang berkaliber kelak. Impian mantan Perdana Menteri kita iaitu Pak Lah untuk membentuk sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dimakbulkan, sekali gus menjadikan negara Malaysia berdiri gah di persada dunia.
Saturday, 8 April 2017
CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG
Berderap seiring berjalan pulang,
Mawar disisip hiasan si dara,
Remaja kini berperibadi cemerlang,
Menjadi tunjang aspirasi negara.
Pantun di atas menerangkan bagaimana seorang pelajar yang cemerlang dapat memberikan kebaikan kepada negara. Hal ini demikian kerana pelajar cemerlang mampu merealisasikan aspirasi negara dan seterusnya bakal menerajui tampuk pemerintahan negara. Sehubungan dengan itu, setiap pelajar perlu mengambil inisiatif untuk menjadi pelajar yang cemerlang, bak kata peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Bagi menjadi pelajar yang cemerlang, pelbagai kriteria yang positif perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka.
Ciri utama yang perlu ada dalam diri seorang pelajar cemerlang ialah mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul. Seorang pelajar yang mempunyai peribadi yang unggul akan sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia tidak kiralah ketika bersama keluarga, guru mahupun rakan-rakan.Sebagai contoh, pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati dan menyayangi guru mereka. Mereka juga sentiasa berlapang dada untuk membantu rakan-rakan dalam pelajaran. Sifat sombong dan angkuh tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang pelajar yang cemerlang. Mereka sentiasa mengamalkan sikap bermurah hati dan tidak pilih kasih dalam pergaulan dengan membeza-bezakan bangsa, agama dan prestasi akademik kerana menyedari bahawa setiap manusia adalah sama di sisi Allah. Sahsiah dan peribadi pelajar yang cemerlang yang unggul disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana mereka tetap bergaul mesra kerana tidak bersikap seperti kera sumbang. Oleh itu, jelaslah bahawa pelajar cemerlang mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul.
Seterusnya, pelajar yang cemerlang sentiasa mengikut ajaran agama. Setiap agama di dunia ini menganjurkan manusia melakukan kebaikan tidak kiralah agama Islam, Kristian, Hindu mahupun Buddha. Pelajar yang cemerlang sentiasa menjadikan agama sebagai panduan hidup. Agama menjadi landasan yang paling ampuh dalam membentuk diri pelajar yang cemerlang seperti kata seorang cendekiawan, permulaan hidup seseorang manusia adalah mengenal Tuhan dan agamanya. Pelajar yang cemerlang akan sentiasa mempunyai nawaitu yang suci dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh mereka. Sebagai contoh, seorang pelajar Islam yang cemerlang sentiasa menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah iaitu dengan menunaikan solat serta sentiasa berdoa untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, jelaslah bahawa agama menjadi pegangan pelajar yang cemerlang agar mereka tidak terpesong daripada matlamat sebenar hidup di dunia ini serta seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).
Selain itu, pelajar yang cemerlang sentiasa menyedari hakikat bahawa masa itu emas dan tidak mensia-siakan setiap saat yang dimilikinya. Mereka sentiasa mengisi masa terluang dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku, mengulang kaji pelajaran, dan beriadah. Mereka juga menyediakan jadual aktiviti harian yang fleksibel agar aktiviti yang mereka lakukan seimbang daripada aspek jasmani dan rohani. Penyediaan jadual aktiviti harian amat penting bagi memastikan pelajar tidak hanya menghabiskan masa selama 24 jam di meja belajar sahaja. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan mereka dengan membaca buku sekiranya mempunyai masa yang terluang. Hal ini demikian kerana, mereka menyedari melalui pembacaan, mereka akan dapat meluaskan horizon pemikiran mereka dan seterusnya menjadikan diri mereka seorang pelajar yang cemerlang. Mereka juga sentiasa menyiapkan setiap tugasan yang diberi dan tidak menangguhkannya. Mereka juga tidak mengamalkan sikap seperti pahat dengan penukul dalam proses menuntut ilmu. Oleh hal yang demikian, jelaslah kepada kita semua bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa bijak dalam mengisi setiap saat dan minit dalam kehidupan mereka agar tidak berakhir dengan penyesalan.
Di samping itu, ciri pelajar yang cemerlang termasuklah sentiasa memberikan tumpuan ketika guru sedang mengajar. Hal ini demikian kerana, perhatian dan tumpuan yang diberikan menjadi salah satu medium pembentukan pelajar yang cemerlang di samping meningkatkan pemahaman mengenai subjek yang dipelajari. Sebagai contoh, seseorang pelajar haruslah memberi sepenuh perhatian dan fokus ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Mereka harus menghargai setiap detik waktu dalam proses tersebut kerana masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya,maka ia akan memotong kita. Tumpuan dan perhatian pelajar di dalam kelas sahaja menjadi salah satu ciri pelajar cemerlang malahan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam sesuatu subjek yang dipelajari. Tambahan lagi, sekiranya mereka menerapkan ciri yang berikut dalam diri mereka, mereka akan disenangi oleh para guru. Para guru akan berasa senang hati ketika mengajar seterusnya memberi keberkatan kepada pelajar tersebut untuk memperoleh kejayaan dalam pelajaran, peperiksaan bahkan dalam kerjaya mereka pada masa akan datang. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa memberikan tumpuan semasa guru sedang megajar di dalam kelas.
Bukan itu sahaja, pelajar yang cemerlang juga mempunyai wawasan hidup. Hal ini demikian kerana wawasan hidup diperlukan supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala cita-cita dalam hidup mereka. Sebagai contoh, mereka yang cemerlang sentiasa mempunyai sasaran dalam peperiksaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Selain itu, wawasan hidup mampu mengajar mereka erti berdisiplin dan bertanggungjawab dalam hidup berikutan mereka akan lebih teliti dan kreatif dalam menyusun masa belajar dan melakukan aktiviti seharian. Wawasan hidup merupakan ciri dominan pada diri pelajar cemerlang kerana apabila mereka berwawasan, mereka sentiasa berusaha gigih kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Pelajar yang mempunyai wawasan juga lebih mengetahui hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa dalam kehidupan mereka. Walaupun mereka mungkin menemui kegagalan dalam sesuatu perkara, mereka tidak akan mudah bersedih malahan menjadikan kegagalan tersebut sebagai batu loncatan untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan. Wawasan hidup juga mampu menjauhkan diri daripada sifat menangguhkan kerja dalam kalangan pelajar cemerlang. Setiap pekerjaan haruslah dilakukan hingga selesai, bak kata peribahasa, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sifat negatif tersebut tidak akan lagi menjadi penghalang kepada diri mereka dalam menempa kejayaan hidup. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang berwawasan merupakan pelajar yang cemerlang.
Sementara itu, untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, setiap pelajar hendaklah sentiasa aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Hal ini demikian kerana, melalui aktiviti kokurikulum di sekolah, bakat dan kebolehan para pelajar akan terserlah dan dapat terus digilap untuk mencapai kejayaan. Tamsilannya, para pelajar akan sentiasa melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang diadakan oleh unit beruniform, serta kelab dan persatuan seperti berkawad dan berkhemah. Dalam konteks ini, para pelajar bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan mereka malah turut dapat mencerdaskan otak mereka kerana otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas. Para pelajar juga haruslah menyertai sebarang pertandingan bagi mengenal pasti potensi diri sama ada melalui unit beruniform mahupun akademik. Contohnya, pelajar yang cemerlang akan menyertai pertandingan yang dapat menguji minda serta pemikiran mereka seperti pertandingan perbahasan, forum dan catur. Oleh hal yang demikian, setiap pelajar perlu bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang dan seimbang.
Intihanya, kriteria-kriteria yang positif perlu ada dalam diri setiap pelajar bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua skop kehidupan. Pelajar yang cemerlang mampu berfikir luar daripada kotak pemikiran dan seterusnya mampu merealisasikan aspirasi negara. Hal ini demikan kerana, pelajar yang cemerlang merupakan pemacu jentera negara dan akan menerajui tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan. Oleh itu, generasi pelajar yang cemerlang perlu dipupuk sejak kecil lagi bak kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

