Thursday, 11 January 2018
Cara-cara untuk menghargai warga tua
Tuesday, 16 May 2017
PERIBAHASA DAN UNGKAPAN MENARIK
2. Darah dagingMaksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.
3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjingMaksud : mengalami susah senang bersama-sama.
4. meninggi diriMaksud : Sombong
5. bermuka duaMaksud : Tidak jujur.
6 baik hatiMaksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).
7. tulang belakangMaksud : Punca kekuatan/ orang harapan
8. bara yang digenggam biar sampai jadi arangMaksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.
9. bagai kaca terhempas ke batuMaksud : Sangat sedih atau kecewa.
10. melentur buluh biarlah dari rebungnyaMaksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.
11. duduk sama rendah, berdiri sama tinggiMaksud : dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat
12. seperti lembu dicucuk hidungMaksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang
13. yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjingMaksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.
14. dayung sudah di tangan, perahu sudah di airMaksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.
15. terang hatiMaksud : Lekas pandai.
16. rendah hatiMaksud : Tidak sombong
17. murah hatiMaksud : Pemurah.
18. tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panasMaksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.
19. Tangan kosongMaksud : Hampa.
1. lintah daratMaksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.
2. bagai aur dengan tebingMaksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.
3. anak dagangMaksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat
4. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiriMaksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.
5. kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantaiMaksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah
6. indah khabar daripada rupaMaksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.
7. hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecahMaksud : Pengagihan yang sama banyak.
8. bukit sama didaki, lurah sama dituruniMaksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.
9. kacang lupakan kulitMaksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.
10. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjungMaksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.
11. masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguakMaksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan
12. ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semuaMaksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya..
13. memerah otakMaksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.
14. kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunyaMaksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah
Monday, 24 April 2017
Peranan Ibu bapa Mendidik Anak-anak
Pernyataan ‘keluarga bahagia tunjang kemakmuran negara’ jelas menunjukkan bahawa keluarga memang memainkan peranan yang penting dalam membentuk keperibadian mulia kanak-kanak. Remaja kini sering melibatkan diri dalam masalah sosial yang telah mencetuskan isu polemik dalam kalangan media massa yang saban hari meniti dari bibir ke bibir. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Sudah tentu, sesuatu perkara berlaku tentu ada sebab-sebab yang mendorongnya keranapepohon pokok tidak akan berliuk-lintuk jika tidak ditiup angin. Pembentukan keperibadian mulia anak-anak bermula daripada institusi keluarga. Sesebuah keluarga dibentuk dengan peranan ibu bapa masing-masing.
Ibu bapa seharusnya mementingkan zuriat mereka sendiri daripada kerjaya. Malangnya, kebanyakan ibu bapa kini yang terlalu mementingkan kerjaya sehingga menyebabkan anak-anak mereka di rumah berasa tersisih seperti anak kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah mengimbangkan kerjaya dan kehidupan seharian mereka agar anak-anak dapat mendapat didikan yang baik dari segi fizikal dan mental. Ibu bapa sewajarnya tahu bahawa mujtamak yang kaya dalam kebendaan tetapi muflis dari segi keperibadian akan secara tidak langsung mendampakkan kesan negatif terhadap anak-anak mereka. Oleh itu, keluarga terutamanya ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk membentuk keperibadian anak-anak.
Selain itu, ibu bapa haruslah memberi didikan dan asuhan yang baik sejak kecil lagi keranamelentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak tentunya dapat mengimplimentasikan nilai-nilai murni dan sikap positif ini dalam kehidupan seharian, seterusnya membentuk sanubari yang baik. Ibu bapa merupakan uswah hasanah kepada anak-anak di rumah, oleh hal yang demikian, mereka mestilah sentiasa bersikap penyayang dan berbudi pekerti mulia dan jangan sesekali menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan diri sendiri berjalan mengiring. Sudah terang lagi bersuluh bahawa jati diri anak-anak dapat dibentuk melalui institusi keluarga khususnya ibu bapa yang memainkan peranan yang penting.
Di samping itu, anak-anak yang berfikiran suci akan sentiasa mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana bapa borek, anak rintik. Ibu bapa merupakan tempat luahan isi hati dan penyimpan rahsia yang paling dipercayai anak-anak. Lantaran itu, ibu bapa sewajarnya mengindoktrinasikan pucuk-pucuk hijau dengan nilai-nilai murni ini bagai menatang minyak yang penuh kerana anak-anak remaja kini sering melibatkan diri dalam kebejatan sosial dan budaya hedonisme yang begitu cepat merebak bagai virus epidemik. Melalui nasihat dan ajaran yang baik, sudah tentu anak-anak akan tahu cara-cara untukmembezakan antara intan dengan kaca kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak bergunalagi. Institusi keluarga memang merupakan salah satu langkah yang signifikan dalam membentuk keperibadian anak-anak.
Dalam nada yang berbeza, keluarga yangmarem dan sakinah turut merupakan tempat yang paling baik agar proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan dalam kalangan anak-anak. Sikap-sikap yang positif haruslah disemai dalam jiwa anak masing-masing bentuk menjamin kesejahteraan hidup dan pembentukan keperibadian mulia mereka. Anak-anak yang berusia setahun jagung, berdarah setampuk pinang ini mesti diberi penekanan dari segi mental dan fizikal supaya kelak dapat menjadi tunggak negara.
Intihanya, keluarga merupakan mercu tanda kemakmuran negara dan menggalas tanggungjawab yang berat untuk mendidik anak-anak. Ibu bapa mestilah menjalankan obligasi masing-masing dengan tidak melepaskan batuk di tangga. Jikalau anak-anak kini berjaya membentuk keperibadian yang mulia, sudah tentu anak remaja yang merupakan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara ini dapat menjadi pemimpin yang berkaliber kelak. Impian mantan Perdana Menteri kita iaitu Pak Lah untuk membentuk sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dimakbulkan, sekali gus menjadikan negara Malaysia berdiri gah di persada dunia.
Saturday, 8 April 2017
CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG
Berderap seiring berjalan pulang,
Mawar disisip hiasan si dara,
Remaja kini berperibadi cemerlang,
Menjadi tunjang aspirasi negara.
Pantun di atas menerangkan bagaimana seorang pelajar yang cemerlang dapat memberikan kebaikan kepada negara. Hal ini demikian kerana pelajar cemerlang mampu merealisasikan aspirasi negara dan seterusnya bakal menerajui tampuk pemerintahan negara. Sehubungan dengan itu, setiap pelajar perlu mengambil inisiatif untuk menjadi pelajar yang cemerlang, bak kata peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Bagi menjadi pelajar yang cemerlang, pelbagai kriteria yang positif perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka.
Ciri utama yang perlu ada dalam diri seorang pelajar cemerlang ialah mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul. Seorang pelajar yang mempunyai peribadi yang unggul akan sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia tidak kiralah ketika bersama keluarga, guru mahupun rakan-rakan.Sebagai contoh, pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati dan menyayangi guru mereka. Mereka juga sentiasa berlapang dada untuk membantu rakan-rakan dalam pelajaran. Sifat sombong dan angkuh tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang pelajar yang cemerlang. Mereka sentiasa mengamalkan sikap bermurah hati dan tidak pilih kasih dalam pergaulan dengan membeza-bezakan bangsa, agama dan prestasi akademik kerana menyedari bahawa setiap manusia adalah sama di sisi Allah. Sahsiah dan peribadi pelajar yang cemerlang yang unggul disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana mereka tetap bergaul mesra kerana tidak bersikap seperti kera sumbang. Oleh itu, jelaslah bahawa pelajar cemerlang mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul.
Seterusnya, pelajar yang cemerlang sentiasa mengikut ajaran agama. Setiap agama di dunia ini menganjurkan manusia melakukan kebaikan tidak kiralah agama Islam, Kristian, Hindu mahupun Buddha. Pelajar yang cemerlang sentiasa menjadikan agama sebagai panduan hidup. Agama menjadi landasan yang paling ampuh dalam membentuk diri pelajar yang cemerlang seperti kata seorang cendekiawan, permulaan hidup seseorang manusia adalah mengenal Tuhan dan agamanya. Pelajar yang cemerlang akan sentiasa mempunyai nawaitu yang suci dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh mereka. Sebagai contoh, seorang pelajar Islam yang cemerlang sentiasa menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah iaitu dengan menunaikan solat serta sentiasa berdoa untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, jelaslah bahawa agama menjadi pegangan pelajar yang cemerlang agar mereka tidak terpesong daripada matlamat sebenar hidup di dunia ini serta seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).
Selain itu, pelajar yang cemerlang sentiasa menyedari hakikat bahawa masa itu emas dan tidak mensia-siakan setiap saat yang dimilikinya. Mereka sentiasa mengisi masa terluang dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku, mengulang kaji pelajaran, dan beriadah. Mereka juga menyediakan jadual aktiviti harian yang fleksibel agar aktiviti yang mereka lakukan seimbang daripada aspek jasmani dan rohani. Penyediaan jadual aktiviti harian amat penting bagi memastikan pelajar tidak hanya menghabiskan masa selama 24 jam di meja belajar sahaja. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan mereka dengan membaca buku sekiranya mempunyai masa yang terluang. Hal ini demikian kerana, mereka menyedari melalui pembacaan, mereka akan dapat meluaskan horizon pemikiran mereka dan seterusnya menjadikan diri mereka seorang pelajar yang cemerlang. Mereka juga sentiasa menyiapkan setiap tugasan yang diberi dan tidak menangguhkannya. Mereka juga tidak mengamalkan sikap seperti pahat dengan penukul dalam proses menuntut ilmu. Oleh hal yang demikian, jelaslah kepada kita semua bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa bijak dalam mengisi setiap saat dan minit dalam kehidupan mereka agar tidak berakhir dengan penyesalan.
Di samping itu, ciri pelajar yang cemerlang termasuklah sentiasa memberikan tumpuan ketika guru sedang mengajar. Hal ini demikian kerana, perhatian dan tumpuan yang diberikan menjadi salah satu medium pembentukan pelajar yang cemerlang di samping meningkatkan pemahaman mengenai subjek yang dipelajari. Sebagai contoh, seseorang pelajar haruslah memberi sepenuh perhatian dan fokus ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Mereka harus menghargai setiap detik waktu dalam proses tersebut kerana masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya,maka ia akan memotong kita. Tumpuan dan perhatian pelajar di dalam kelas sahaja menjadi salah satu ciri pelajar cemerlang malahan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam sesuatu subjek yang dipelajari. Tambahan lagi, sekiranya mereka menerapkan ciri yang berikut dalam diri mereka, mereka akan disenangi oleh para guru. Para guru akan berasa senang hati ketika mengajar seterusnya memberi keberkatan kepada pelajar tersebut untuk memperoleh kejayaan dalam pelajaran, peperiksaan bahkan dalam kerjaya mereka pada masa akan datang. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa memberikan tumpuan semasa guru sedang megajar di dalam kelas.
Bukan itu sahaja, pelajar yang cemerlang juga mempunyai wawasan hidup. Hal ini demikian kerana wawasan hidup diperlukan supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala cita-cita dalam hidup mereka. Sebagai contoh, mereka yang cemerlang sentiasa mempunyai sasaran dalam peperiksaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Selain itu, wawasan hidup mampu mengajar mereka erti berdisiplin dan bertanggungjawab dalam hidup berikutan mereka akan lebih teliti dan kreatif dalam menyusun masa belajar dan melakukan aktiviti seharian. Wawasan hidup merupakan ciri dominan pada diri pelajar cemerlang kerana apabila mereka berwawasan, mereka sentiasa berusaha gigih kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Pelajar yang mempunyai wawasan juga lebih mengetahui hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa dalam kehidupan mereka. Walaupun mereka mungkin menemui kegagalan dalam sesuatu perkara, mereka tidak akan mudah bersedih malahan menjadikan kegagalan tersebut sebagai batu loncatan untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan. Wawasan hidup juga mampu menjauhkan diri daripada sifat menangguhkan kerja dalam kalangan pelajar cemerlang. Setiap pekerjaan haruslah dilakukan hingga selesai, bak kata peribahasa, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sifat negatif tersebut tidak akan lagi menjadi penghalang kepada diri mereka dalam menempa kejayaan hidup. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang berwawasan merupakan pelajar yang cemerlang.
Sementara itu, untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, setiap pelajar hendaklah sentiasa aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Hal ini demikian kerana, melalui aktiviti kokurikulum di sekolah, bakat dan kebolehan para pelajar akan terserlah dan dapat terus digilap untuk mencapai kejayaan. Tamsilannya, para pelajar akan sentiasa melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang diadakan oleh unit beruniform, serta kelab dan persatuan seperti berkawad dan berkhemah. Dalam konteks ini, para pelajar bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan mereka malah turut dapat mencerdaskan otak mereka kerana otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas. Para pelajar juga haruslah menyertai sebarang pertandingan bagi mengenal pasti potensi diri sama ada melalui unit beruniform mahupun akademik. Contohnya, pelajar yang cemerlang akan menyertai pertandingan yang dapat menguji minda serta pemikiran mereka seperti pertandingan perbahasan, forum dan catur. Oleh hal yang demikian, setiap pelajar perlu bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang dan seimbang.
Intihanya, kriteria-kriteria yang positif perlu ada dalam diri setiap pelajar bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua skop kehidupan. Pelajar yang cemerlang mampu berfikir luar daripada kotak pemikiran dan seterusnya mampu merealisasikan aspirasi negara. Hal ini demikan kerana, pelajar yang cemerlang merupakan pemacu jentera negara dan akan menerajui tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan. Oleh itu, generasi pelajar yang cemerlang perlu dipupuk sejak kecil lagi bak kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Tuesday, 21 March 2017
PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBERIKAN SOKONGAN DAN DORNGAN KEPADA ANAK-ANAK DEMI MEMASTIKAN KECEMRLANGAN AKADEMIK ANAK-ANAK
Friday, 17 February 2017
Cara-cara untuk mengatasi kemalangan jalan raya
Faktor Jerebu
Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini sering berhadapan dengan masalah jerebu yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana telah acapkali melanda negara kita. Pada tahun 2005, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah menyebabkan jerebu yang teruk di Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang telah diiystiharkan darurat kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi 500, iaitu tahap darurat. Pada tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku sekali lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang kontroversi ini, sebenarnya disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang tua-tua , “ jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang ”.
Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialah pembakaran hutan secara besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu meningkat . Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di muka bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita. Natijahnya, udara kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu.
Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan juga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Sesetengah rakyat negara pula melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Jadi, mereka telah mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap mereka tanpa kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit membawa kepada masalah jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar jerami padi untuk membersihkan kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula. Mereka tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya, pembakaran terbuka ini melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan jerebu.
Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya. Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap pencemar. Gas-gas pencemar ini merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gas-gas yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.
Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri yang tidak terkawal. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung pada bidang perindustrian yang mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan keadaan jerebu di negara kita lagi.
Sebagai penutup bicara, jerebu merupakan fenomena alam yang memberi kesan yang buruk kepada manusia. Fenomena jerebu yang disebabkan oleh proses alam semula jadi tidaklah menyebabkan jerebu yang buruk berbanding dengan jerebu yang disebabkan oleh aktiviti manusia. Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini, sebaliknya langkah-langkah efektif perlu diambil sebelum kemelut tersebut berada di luar kawalan persis kata orang tua-tua, “sebelum nasi menjadi bubur”. Sekiranya masalah jerebu tidak mendapat perhatian ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan nilai cinta akan alam sekitar. Oleh itu, semua wargabumi haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah berjerebu di Malaysia yang semakin serius supaya masyarakat sejagat dapat hidup dengan selamat. Tidak gunanya kita meratapi kehilangannya suatu ketika nanti jika langkah-langkah pencegahan tidak dimulakan dan dilakukan dari sekarang kerana pepatah melayu ada berbunyi, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.