google.com, pub-6310673978684249, DIRECT, f08c47fec0942fa0google.com, pub-6310673978684249, DIRECT, f08c47fec0942fa0 google.com, pub-6310673978684249, DIRECT, f08c47fec0942fa0 Cikgu GK

Saturday, 5 January 2019

Kepentingan Sektor Pelancongan Kepada Rakyat Dan Negara


Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian yang serius kepada industri pelancongan kerana langkah ini berpotensi memajukan ekonomi negara. Setiap tahun bilangan pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Banyak pelancong sama ada dari luar ataupun tempatan memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita?
Antara kepentingan sektor pelancongan ialah kita dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia. Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati seperti Bandar Bersejarah yang terletak di negeri Melaka. Tempat-tempat bersejarah ini dapat mengembangkan ilmu pengetahuan seseorang. Di negara kita, pelancong juga dapat bermain sambil melawat tempat-tempat  bersejarah ini kerana kita mengetahui bahawa sekiranya cuma melihat barangan bersejarah amat membosan bagi sesetengah pelancong. Jadi, untuk memanfaatkan pelbagai pihak, selain barangan bersejarah persembahan turut diadakan seperti di Kota A’Famosa. Di Kota A’Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan ilmu sejarah tetapi juga beriadah pada masa yang sama Hal ini dikatakan demikian kerana tempat beriadah seperti Bandar Cowboy, Dunia Binatang Safari dan Dunia Air turut disediakan. Tempat-tempat ini sesuai untuk semua golongan masyarakat sama ada kanak-kanak ataupun dewasa. Jelasnya, sektor pelancongan dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di negara kita. Jelaslah kepada kita bahawa Malaysia mempunyai lebih banyak tempat pelancongan yang menarik daripada luar negara kerana hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.
Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan makanan setempat di negara kita. Malaysia mempunyai beraneka jenis makanan yang digemari oleh pelancong. Negara kita yang mempunyai pelbagai kaum yang berlainan dan masakan yang berbeza seperti masakan Melayu, masakan Cina dan masakan India. Negara-negara Barat seperti England cuma mempunyai satu jenis kaedah masakan seperti kentang goreng, stik dan salad. Negara Itali pula mempunyai masakan seperti spageti, pizza dan telur dadar. Negara kita tidak seperti negara lain yang cuma mempunyai satu kaedah masakan. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mengetahui pelbagai jenis makanan dari serata dunia seperti nasi ayam, pau dan kuetiao goreng daripada kaum Cina, rendang, ketupat dan nasi lemak daripada kaum Melayu, capati, tosai dan idli daripada kaum India serta tidak kurangnya masakan Barat dan masakan enak daripada kaum yang berlainan. Masakan yang tidak pernah dirasai oleh pelancong ini memberikan mereka rasa baharu maka menarik minat mereka untuk mengunjungi Malaysia. Tegasnya, makanan setempat dapat dipromosikan melalui sektor pelancongan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya
Di samping itu, sektor pelancongan dapat memperkenalkan dan mengembangkan industri kraf tangan di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana tak kenal maka tak cinta. Barangan kraf tangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Barangan kraf tangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi reka bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong. Pelancong pasti membeli-belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, wau dan lain-lain sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraf tangan tempatan. Jelasnya, industri kraf tangan dapat dimajukan melalui sektor pelancongan.
Sementara itu, sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian tradisional misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka juga diberi peluang untuk mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak, batu seremban dan lain-lain yang tak lekang dek panas, tak basah dek hujan. Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat daripada kain batik dan sari yang diperbuat daripada kain sutera boleh cuba dipakai oleh pelancong asing. Keseronokan pengalaman yang dibawa pulang ke negara asal pelancong akan menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita. Tegasnya, keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosi melalui sektor pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia.
Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting dalam negara kita. Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara kita dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. Walaupun masyararakat kita terdiri daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tecinta kita. Tegasnya, kita perlulah bersatu padu bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

FAEDAH-FAEDAH KOPERASI DI SEKOLAH


Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari menjelang ambang 2020, keadaan ini menandakan titik permulaan zaman yang serba mencabar minda kita. Dalam meniti ranjau kehidupan yang penuh pancaroba ini, pihak sekolah telah menubuhkan koperasi di sekolah. Koperasi merupakan pertubuhan ditubuhkan oleh pihak sekolah untuk kemudahan warga sekolah, khususnya pelajar dan guru. Dengan adanya koperasi di sekolah, kita dapat memperoleh banyak kebaikan yang tidak dapat dikira dengan hujung jari kita. Persoalannya kini, apakah kebaikan penubuhan koperasi sekolah kepada warga sekolah itu sendiri? Oleh hal yang demikian, faedah-faedah koperasi sekolah yang akan menjadi fokus perbincangan saya pada hari ini akan dikupas dan dihuraikan secara terperinci demi kebaikan bersama.

Sebagai mukadimah pembicara, saya ingin melontarkan idea saya tentang faedah koperasi terhadap warga sekolah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pelajar atau guru dapat membeli barangan dengan harga yang lebih murah. Mereka dapat menikmati barangan yang harganya berpatutan dan barangan yang berkualiti. Umum mengetahui bahawa koperasi menjual pelbagai barangan dan makanan seperti alat tulis, minuman, kertas kajang, buku latihan dan sebagainya. Kesemua ini telah memenuhi kehendak dan keperluan guru dan pelajar. Sebagai analogi, pelajar dapat membeli sebatang pen di koperasi dengan harga yang rendah berbanding membeli sebatang pen di pasar raya. Tambahan pula, barangan di pasar raya mahal-mahal belaka. Hal ini secara tidak langsung, pelajar dapat menjimatkan wang untuk membeli alat-alat tulis dan buku-buku rujukan bagi meningkatkan prestasi pembelajaran. Tegasnya, koperasi menawarkan barangan yang harganya berpatutan dan berkualiti kepada warga sekolah.

Lanjutan daripada huraian di atas, warga sekolah yang menjadi ahli koperasi berhak mendapat keuntungan dalam bentuk dividen dan bonus melalui pembelian barangan oleh warga sekolah. Keuntungan tersebut datangnya daripada jual beli yang dijalankan. Selain itu, sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh oleh koperasi juga dapat dikeluarkan untuk membantu pihak sekolah dalam menangani masalah prasarana sekolah. Wang tersebut boleh digunakan untuk menyediakan dan menaik taraf prasarana di sesebuah sekolah. Contoh yang boleh diketengahkan ialah koperasi SMK Hamzah Berhad yang berpegang teguh pada prinsip koperasi kita dari kita untuk kita dengan membahagikan sebahagian keuntugan koperasi untuk membeli buku rujukan dan buku cerita koleksi terbaru untuk perpustakaan sekolah demi kemudahan murid yang dahaga akan ilmu pengetahuan. Jelaslah bahawa koperasi mendapat keuntungan yang berkali ganda melalui aktiviti jual beli. 

Bukan setakat itu sahaja, koperasi membolehkan anak-anak muridnya mengetahui asas perniagaan. Apabila pelajar mengendalikan urus niaga di koperasi, mereka dapat memahami dan menguasai asas perniagaan. Pengalaman baru ini tidak dapat dipelajari dalam silibus sekolah dan merupakan satu pendekatan yang baik untuk mempraktikkan apa-apa yang dipelajari di dalam bilik darjah. Pelajar yang belajar subjek-subjek seperti Prinsip Perakaunan, subjek Perniagaan dan Perdagangan dapat memahami apa-apa yang dipelajari dengan lebih lebih lanjut dan efektif dalam kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh, pelajar dapat berinteraksi dan bertukar-tukar pendapat dengan pelajar yang lain dan guru tentang selok-belok dalam urus niaga. Rentetan daripada situasi tersebut, hubungan silaturahim bagai isi dengan kuku dapat dipupuk antara guru dan pelajar. Malah, mereka dapat menambah ilmu pengetahuan mereka supaya mereka tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa asas perniagaan dapat dimantapkan dalam sanubari anak-anak didik melalui penglibatan mereka dalam koperasi sekolah. 

Sebagai menggulung segala yang diperkatakan di atas, koperasi mendatangkan banyak faedah kepada warga sekolah mahupun pihak sekolah. Oleh hal yang demikian kita perlu bersyukur dan menghargai ahli jawatankuasa koperasi yang begitu bersungguh- sungguh mengendalikan dan mengurus hal ehwal koperasi. Tanpa usaha gigih mereka, koperasi sekolah sudah pasti bagai sebutir batu berlian yang tidak berguna. Marilah kita bersama-sama bagai aur dengan tebing meneruskan usaha kita dalam menjayakan koperasi sekolah demi mengecapi visi kudsi wawasan 2020 yang diimpikan dan diwara-warakan oleh mantan Perdana Menteri yang keempat dan semua lapisan masyarakat.

Kelebihan Pendidikan Maya (Teknik IMBaKOP)



Pengenalan

Pepatah ada mengatakan ‘zaman beralih, musim bertukar’,sememangnya tidak dapat dinafikan lagi pendidikan konvensional kini telah bertukar wajah. Sistem pendidikan maya telah diperkenalkan di negara kita atas usaha kerajaan untuk memartabatkan lagi sistem pendidikan kita agar bertaraf dunia. Sistem ini bertujuan untuk melonjakkan taraf pendidikan rakyat Malaysia agar setanding dengan sistem pendidikan di negara-negara maju dan juga untuk meningkatkan sistem pengajaran dan pembelajaran agar boleh diaplikasikasikan di seluruh dunia.Pendidikan maya merupakan satu bentuk pendidikan masa depan yang akan memaksimumkan penggunaan Teknologi dan Maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pendidikan maya dapat ditakrifkan sebagai sistem pengajaran dan pembelajaran yang melepasi sempadan bilik kuliah atau kelas di sekolah. Jika kita menerobosi secara terperinci tentang sisitem pendidikan maya ini, banyak kelebihan yang bakal kita dapati.


I - Isi
M - Mengapa
Ba - Bagaimana
K - Kesan
U - Ungkapan menarik
P - Penegasan


Isi 1

I
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa, kelebihan pendidikan maya ialah dapat menyampaikan ilmu pengetahuan dengan cepat dan mudah.
M
Hal ini demikian kerana, pendidikan maya membolehkan kita menjelajahi pelbagai ilmu pengetahuan ke seluruh pelosok dunia.
Ba
Dalam hal ini, kita hanya perlu mengetik papan kekunci dengan hujung jari serta bantuan perkhidmatan jalur lebar yang berkelajuan tinggi. Sebagai contohnya, kita menggunakan engine pencarian Google dan Yahoo serta laman-laman sesawang yang berkaitan.
K
Natijahnya, kita akan merasakan bahawa mencari maklumat untuk menambahkan ilmu pengetahuan adalah sangat mudah dan menyeronokkan.
U
Perkara ini bertepatan dengan kata-kata cendikianwan iaitu pada zaman moden ini, maklumat hanya berada di hujung jari sahaja.
P
Tegasnya, kelebihan pendidikan maya ialah dapat menyampaikan ilmu pengetahuan dengan cepat dan mudah.


















Isi 2

I
Selanjutnya, para pelajar dapat menggunakan e-buku  ataupun buku elektronik yang merupakan komputer riba berukuran buku nota seberat satu kilogram.
M
Hal ini dikatakan demikian kerana, e-buku ini dapat memuatkan 300 naskhah buku dan mempunyai pelbagai aplikasi. Antaranya termasuklah pemprosesan kata, hamparan data, senarai kandungan, kalendar dan sebagainya. Pada waktu yang sama, e-buku menjadi suatu wahana  pendekatan interpersonal antara guru dengan pelajar juga boleh dijadikan sebagai medium rujukan.
Ba
Dengan e-buku, para pelajar tidak perlu membawa buku yang banyak ke institusi pendidikan.
K
Penggunaan buku elektronik ini dijangka dapat mengurangkan kos bagi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) di sekolah pada jangka masa yang panjang dan mampu menangani kepelbagaian masalah pelajar dalam bidang akademik di dalam sesebuah kelas.
U
Corak pembelajaran ini berketepatan dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan sistem pembelajaran abad ke-21.
P
Tuntasnya, melalui pendidikan maya, maklumat dapat  diperoleh dengan lebih cepat, mudah dan dapat menjimatkan masa.

Isi 3

I
Seterusnya, pendidikan secara maya juga dapat menjimatkan pelbagai kos kehidupan seperti penginapan dan perbelanjaan.
M
Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan maya boleh dilakukan di rumah. Secara tidak langsung, kos perbelanjaan dan penginapan para pelajar dapat dijimatkan.
Ba
Para pelajar terutama di peringkat pengajian tinggi tidak perlu lagi bersemuka dengan pensyarah. Tamsilnya, para pensyarah boleh menggunakan kemudahan  telesidang yang menggabungkan audio, video dan grafik dapat dilakukan di lokasi yang berbeza dengan peralatan canggih dan didengari ramai tanpa melibatkan kos yang tinggi untuk para pelajar Program Pendidikan Jarak Jauh.
K
Oleh hal yang demikian, golongan seperti suri rumah dan pesara dapat terus melanjutkan pelajaran tanpa perlu menghadirkan diri di institusi pendidikan. Hal ini secara tidak langsung dapat memanifestasikan slogan pendidikan sepanjang hayat yang amat digalakkan oleh kerajaan.
U
Baru-baru ini juga Timbalan Menteri Pelajaran iaitu Datuk. P. Kamalanathan menyuarakan bahawa pendidikan maya ini telah melahirkan ramai graduan yang boleh memberi sumbangan kepada negara kita supaya hasrat Perdana Menteri iaitu Transformasi Nasional 2050 menjadi kenyataan.
P
Secara tuntasnya, dengan adanya pendidikan maya, kita dapat menjimatkan pelbagai kos kehidupan.
























Penutup

Kesimpulannya, sememangnya pendidikan maya memberikan pelbagai kelebihan kepada seluruh lapisan masyarakat. Umum mengetahui bahawa bentuk pengaajaran dan pembelajaran yang baharu membolehkan rakyat meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik. Pelaksanaan sistem pendidikan maya di negara kita dapat meluaskan lagi horizon minda para pelajar. Para pelajar akan lebih terdedah dengan dunia globalisasi sekiranya pendidikan maya dilaksnakan secara menyeluruh. Walaupun usia telah meningkat ilmu pengetahuan tetap dapat dikuasai. Konsep pembelajaran sepanjang hayat menerusi pendidikan sedemikian patut dimanfaatkan oleh semua bertunjangkan pepatah ‘ sebab mutiara sebiji, lautan dalam diselami orang’. Selain itu pelbagai pihak tidak kira pihak swasta mahupun badan bukan kerajaaan (NGO) perlulah berganding bahu bersama kerajaan untuk membangunkan lagi sistem pendidikan di negara kita agar ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan negara-negara maju yang lain.

Tuesday, 1 January 2019

Format Baharu PT3 2019 (Bahasa Melayu)



Cara-cara mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita (Kertas 1)

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang berdaulat di rantau nusantara. Rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama serta hidup makmur dalam kehidupan sehari-hari. Gagasan Satu Malaysia yang telah diperkenalkan oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia bertujuan untuk mengeratkan tali silaturahim sekali gus merealisasikan perpaduan nasional.

Sebenarnya, terdapat beberapa cara untuk kita mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita. Pertama sekali, kita mestilah berusaha membina semangat kejiranan yang baik dalam kehidupan seharian. Dengan ini, nilai hormat-menghormati antara kaum akan terbentuk dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita. Kita juga selalu dinasihati agar senantiasa bersikap toleransi dan bertolak ansur terhadap amalan dan budaya masyarakat majmuk Malaysia. Rakyat yang hidup aman, makmur dan harmoni akan menghasilkan masyarakat yang progresif.

Selain itu, kita dapat mengeratkan perpaduan kaum dengan melibatkan diri secara proaktif dalam sambutan perayaan utama kaum-kaum di Malaysia. Program rumah terbuka, amalan kunjung-mengunjungi pada musim perayaan Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas, usaha sama dalam dunia perniagaan dan lain-lain dapat merapatkan hubungan dan menjauhkan perseteruan. Bersempena dengan musim perayaan juga, kita dapat mengambil peluang untuk mendalami nilai budaya kaum-kaum yang terdapat di Malaysia. Jelasnya, rakyat jelata dapat hidup aman damai dan bersatu padu ke arah menjayakan gagasan Satu Malaysia.

Pada zaman teknologi, kita sepatutnya memanfaatkan penggunaan media massa dan teknologi maklumat dengan sepenuhnya. Media massa dapat membantu menyiarkan rencana dan drama khas untuk menyemaikan perpaduan antara kaum. Kaedah ini dapat menyampaikan mesej yang tepat secara langsung kepada rakyat jelata di segenap pelosok tanah air sekali gus mananamkan semangat perpaduan, muhibah dan jati diri dalam kalangan rakyat.

Seterusnya, pihak kerajaan berperanan penting untuk menyatupadukan rakyat melalui pelbagai perancangan dan program menjurus kepada gagasan Satu Malaysia. Misalnya, dalam bidang pendidikan, guru dapat memainkan peranan yang proaktif untuk menyemaikan nilai-nilai kerjasama dan persefahaman dalam kalangan murid melalui mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Siviks dan Kewarganegaraan, Pendidikan Moral dan Sejarah. Usaha gigih guru juga boleh diterjemahkan dalam aspek kokurikulum yang melibatkan murid-murid dalam kegiatan unit beruniform, kelab atau persatuan dan permainan. Misalnya, penglibatan murid-murid yang beraneka kaum dan agama dalam program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) dan aktiviti perkhemahan perdana pada setiap tahun.

Pendek kata, kita haruslah bersikap sehati sejiwa dalam usaha merealisasikan perpaduan kaum dalam kelangan rakyat Malaysia yang berlainan kaum, agama dan latar belakang kehidupan bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Jelaslah bahawa perpaduan rakyat dapat membangunkan dan memakmurkan bangsa dan negara menjelang Wawasan 2020!

Saturday, 7 April 2018

Cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat.

Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan masyarakat pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia. Semakin hari, masalah wabak pelbagai penyakit semakin menjalar dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia tua atau muda. Jika dahulu masalah darah tinggi  dan  kencing manis merupakan penyakit yang sering dihadapi oleh golongan tua tetapi pada hari ini golongan kanak-kanak juga sering dihantui penyakit berkenaan. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011, angka pesakit yang menghadapi masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200 000 orang  pesakit melebihi bilangan pesakit pada tahun sebelumnya. Sebenarnya masalah kesihatan masyarakat mampu diatasi dengan pelbagai cara terutamanya dengan kemudahan prasarana berkaitan kesihatan semakin banyak disediakan oleh pihak kerajaan. Klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa, Hospital Besar merupakan tempat masyarakat mendapat kemudahan rawatan kesihatan.  Persoalannya, mengapakah kadar pertambahan bilangan pesakit yang tidak mengenal usia berlaku pada zaman sekarang? Bak kata pepatah, setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Salah satu daripadanya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagaimanakah caranya  untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat?

         Mari kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci pengambilan makanan seimbang. Kebanyakan rakyat Malaysia mengganggap pengambilan makanan seimbang ialah diet. Sebenarnya, tanggapan masyarakat mengenai perkara tersebut adalah salah sama sekali.Hal ini kerana pengambilan makanan seimbang bermaksud pengambilan makanan oleh seseorang individu yang mengandungi semua nutrien dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan secara seimbang. Jika kita merujuk piramid makanan, pembahagian pemakanan terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut keperluan makanan berdasarkan seorang manusia normal. Bahagian bawah piramid makanan merupakan kumpulan makanan mengandungi karbohidrat, diikuti dengan kumpulan makanan yang mengandungi vitamin, mineral, dan serat, seterusnya kumpulan makanan yang mengandungi protin, dan terakhir bahagian atas ialah kumpulan makanan mengandungi lemak. Piramid makanan juga merupakan panduan kepada pengguna dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak di bahagian atas sekali, seperti lemak dan gula,. Oleh sebab itu, makanan berlemak hanya perlu kita ambil dalam kuantiti sedikit. Berbanding kandungan karbohidrat perlu diambil dalam kuantiti yang banyak kerana makanan seperti ini membekalkan kita tenaga untuk menjalani kehidupan seharian, contohnya nasi, roti, dan bijirin. Seorang ahli falsafah Yunani iaitu Socrates berkata " Aku makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan." Tegasnya, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang setiap hari.

           Seterusnya, mari kita lebarkan lensa perbincangan dengan memperkatakan gaya hidup sihat iaitu menjalankan aktiviti rekreasi. Sebagai mana yang kita sedia maklum, kegiatan rekreasi merupakan aktiviti yang berfaedah terutama untuk mengisi masa senggang, merehatkan minda dan mengelakkan stress, selain menyehatkan badan. Pada abad milenium ini, banyak tempat rekreasi, sama ada bertemakan air, alam sekitar dan sebagainya. Dengan adanya pusat rekreasi, anak muda atau remaja boleh menyertai aktiviti berkenaan dengan mandaftar diri dan menyertai program yang dianjurkan seperti kursus berkayak, mendaki gunung, , menyelam, "jungle tracking" dan sebagainya. Bagaimana kegiatan rekreasi ini dapat menyihatkan tubuh badan? Aktiviti rekreasi merupakan aktiviti mencabar. Sebelum melakukan aktiviti berkenaan, peserta selalunya diminta untuk melakukan aktiviti regangan agar seluruh sendi dan sistem kardivaskular kita bersedia terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti berkenaan. Bahkan juga, dengan adanya aktiviti regangan dan pemanasan badan, kadar pengaliran darah dan pergerakan jantung akan stabil sebelum peserta melakukan aktiviti yang berat. Selain itu, kelenjar endokrin dan kelenjar adrenalina akan merembeskan peluh yang mengandungi toksin untuk disingkirkan daripada badan. Oleh sebab itu, badan kita akan menjadi sihat dan sukar untuk dijangkiti patogen-patogen penyakit. Kebiasaanya, seorang fasiltator akan memberi penerangan kepentingan melakukan regangan dan peringatan mengenai langkah-langkah menjaga keselamatan sepanjang program rekreasi diadakan untuk mengelak sebarang kemalangan atau kecederaan. Bak kata pepatah, malang tidak berbau dan sediakan payung sebelum hujan. Justeru, tahap keselamatan peserta lebih terjamin semasa melakukan aktiviti lasak tersebut. Hal ini jelas menunjukkan aktiviti berekreasi merupakan satu cara untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan.

                Mari kita meneruskan perbincangan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam membicara aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Sebagaimana kita maklum, remaja tidak lari daripada melakukan aktiviti sukan dalam kehidupan mereka sejajar dengan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan pelaksanaan Program 1 Murid 1 Sukan yang mewajibkan pelajar sekurang-kurang menyertai satu aktiviti sukan di sekolah. Bahkan juga,Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah 10% syarat kemasukan ke universiti berdasarkan pencapaian pelajar dalam bidang kokurikulum antaranya sukan permainan. Namun, pelaksanaan program ini belum mencapai objektifnya kerana sebilangan pelajar masih belum membudayakan diri mereka untuk bersukan dan penglibatan mereka dalam aktiviti berkenaan hanya sekadar untuk penyertaan bukan sebagai budaya. Sebenarnya, pucuk pangkal permasalahan berkenaan terus berlaku akibat masyarakat masih belum mengetahui akan manfaat dan kepentingan sukan dalam kehidupan mereka. Dengan bersukan, masyarakat akan mendapat manfaat iaitu selain menyihatkan badan, mereka juga akan dapat mencergaskan minda mereka. Hal ini kerana ketika bersukan oksigen akan diserapkan ke dalam badan dengan lebih cepat dan akan mengaktifkan sel-sel badan menjalankan proses respirasi, disamping aliran oksigen ke otak akan lebih aktif. Secara langsung neuron-neuron otak juga akan bersambung dan badan akan menerima cas-cas positif yang berfungsi untuk menyihatkan badan dan mencerdaskan otak. Kebaikannya kepada pelajar, mereka tidak akan mudah mengantuk semasa berada di dalam kelas dan sudah pasti proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih bermakna. Pepatah Arab ada mengatakan bahawa minda cerdas lahir daripada badan yang sihat. Justeru, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti bersukan.

              Akhir sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah penting dalam memastikan tahap kesihatan kita sentiasa berada di bawah paras bahaya. Masyarakat Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan terutamanya di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia amat mengambil berat dalam menyediakan prasarana dan kemudahan  kesihataperkhidmatan bertaraf dunia. Hal ini boleh kita lihat di setiap pelusuk negara terdapat pusat rawatan sama ada klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa dan Hospital Besar sentiasa terbuka untuk dikunjungi oleh rakyat yang sedar akan kepentingan kesihatan mereka. Bahkan juga, pengamal perubatan yang sedia merawat pesakit adalah lepasan universiti dikerah berkhidmat di pusat rawatan daerah, dan negeri agar setiap masyarakat mudah untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Berbading suatu ketika dahulu, pesakit yang memerlukan rawatan daripada seorang doktor hanya boleh mendapat perkhidmatan mereka di hospital desa atau hospital besar. Rawatan kesihatan amat penting supaya setiap warganegara akan tahu tahap dan darjah kesihatan mereka dari semasa ke semasa. Apabila kita melakukan rawatan kesihatan secara berskala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali perkembangan kesihatan kita boleh dipantau oleh pengamal perubatan atau doktor dengan sebaik-baiknya. Natijahnya cukup positif kerana pengesanan penyakit secara awal akan memudahkan mereka mendapat rawatan yang sepatutnya. Secara langsung pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa kerana kadang kala penyakit menyerang tanpa disedari terutama penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, kecing manis dan serangan jantung. Contohnya, sekiranya pesakit mengalami penyakit kencing manis para doktor berpengalaman akan menasihatkan pesakit mengawal kaedah pemakanan yang sesuai dan sekiranya pesakit mengalamai masalah diabetis yang kronik suntikan insulin akan dilakukan untuk mengawal paras gula dalam badan. Pepatah ada menyebut " mencegah lebih baik daripada merawat." Tegasnya mendapat pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah sangat penting dalam memastikan tahap kesihatan masyarakat dalam keadaan baik. 

          Kesimpulannya, pengamalan gaya hidup sihat merupakan inisiatif kita sendiri. Jika kita inginkan kesihatan kita sentiasa sihat, kita perlulah melibatkan diri dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan kita seperti pengambilan makanan seimbang, melakukan aktiviti rekreasi, menyertai aktiviti sukan dan mendapatkan rawatan kesihatan secara sempurna. Oleh itu, untuk menyokong kerajaan dalam merealisasikan Wawasan 2020, kita perlulah memastikan tahap kesihatan kita dalam keadaan terbaik kerana pekerja, pentadbir, dan pemimpin yang sihat jasmani, rohani, emosi dan inteleknya sahaja yang akan dapat membantu menggapai cita-cita pemimpin  untuk memastikan Malaysia mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Justeru, kesihatan merupakan aset paling penting sebagai warganegara Malaysia kerana bak kata pepatah, kesihatan itu lebih penting daripada wang ringgit yang menggunung.

Thursday, 11 January 2018

Cara-cara untuk menghargai warga tua

Warga tua telah banyak berjasa kepada keluarga dan negara. Namun, banyak jasa mereka telah dilupakan. Terdapat anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua-tua.

Anak-anak perlu membalas jasa kedua-dua orang tua mereka. Hal ini kerana ibu bapa telah mendidik dan menyara kehidupan mereka. Pengorbanan mereka perlu dibalas dengan sebaik-baiknya. Anak-anak janganlah menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua. Warga tua akan berasa sedih jika dihantar ke rumah orang tua-tua.

Selain itu, ibu bapa mestilah menjadi contoh kepada anak-anak. Mereka perlu menjaga kedua-dua ibu bapa mereka dengan penuh kasih sayang. Ibu bapa perlu mewujudkan hubungan mesra dalam keluarga. Anak-anak akan menghargai dan menghayati kasih sayang yang dicurahkan kepada mereka. Anak-anak akan tetap menyayangi mereka.

Di sekolah, guru boleh menasihati pelajar agar menghormati warga tua. Guru-guru perlu menasihati pelajar mereka supaya sayang dan hormati warga tua. Pelajar-pelajar perlu bercakap dengan sopan apabila berhubung dengan ibu bapa mereka. Guru-guru boleh menerapkan nilai ini melalui mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pengetahuan Moral. Peranan guru penting untuk mendidik para pelajar.

Kerajaan boleh menghargai warga tuaKerajaan perlu menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contoh, warga tua perlu diberikan rawatan percuma di hospital kerajaan ataupun dikenakan kadar bayaran rendah di hospital atau klinik swasta. Warga tua akan berasa gembira dan dihargai. Kerajaan perlu mengadakan hari mengingati warga tua.


Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga tua. Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang melahirkan dan membesarkan kita.